Thursday, October 30, 2008

Ramalam Karangan SPM 1

Ramalam Karangan SPM 1
Remaja kini suka merokok di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.
Huraikan faktor-faktor gejala ini terus berlaku. [ 100 markah ]
Dipetik daripada blog Cikgu Tan CL

Remaja merupakan golongan yang berusia antara 13 hingga 21 tahun. Dalam usia yang muda dan mencabar ini, mereka mengalami perubahan dari segi fizikal dan mental. Perubahan demi perubahan ini menyebabkan ada dalam kalangan remaja yang terpengaruh untuk berjinak-jinak dengan tabiat merokok. Oleh hal yang demikian, kadar perokok remaja semakin merebak bak cendawan tumbuh selepas hujan. Realitinya, remaja pada masa ini semakin berani merokok di mana-mana sahaja tanpa segan silu. Saya berpendapat bahawa banyak faktor yang menyebabkan gejala merokok terus merebak dalam kalangan remaja.

Mengikut kajian yang dijalankan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang merupakan faktor utama yang menjadi pemangkin gejala merokok dalam kalangan remaja. Hal ini berlaku kerana pihak berwajib dikatakan tidak serius melaksanakan undang-undang yang digubal. Oleh sebab pihak berkuasa bersikap melepaskan batuk di tangga, remaja menjadi tidak takut waima tidak gentar untuk melakukan kesalahan seperti merokok di tempat-tempat awam. Lama-kelamaan, fenomena merokok dalam kalangan remaja bagai bisul menjadi nanah yang sukar diubati lagi.
Selain kelemahan penguatkuasaan, pengaruh media massa yang bebas menyiarkan iklan juga merupakan penyumbang kepada masalah merokok dalam kalangan remaja. Remaja yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang sudah pasti mudah terpengaruh dengan ledakan iklan daripada media massa. Kajian juga mendapati remaja dan golongan muda-mudi merupakan penonton tertinggi siaran media. Oleh sebab itu, iklan rokok dan poster konsert yang ditaja oleh pihak pekilang rokok mudah meresap dalam jiwa remaja yang mendahagakan keseronokan. Remaja memang mudah mempelajari apa-apa sahaja tontonan mereka. Oleh hal yang demikian, kebanyakan remaja memberanikan diri membeli dan memegang rokok kerana pengaruh media massa.

Di samping itu, kawan merupakan insan yang paling istimewa dan memainkan peranan yang penting dalam pergaulan remaja. Walau bagaimanapun, ada antara remaja yang cuba merokok selepas dicabar atau diajak oleh kawan-kawan. Hal ini tidak mustahil kerana hubungan antara kawan yang rapat bagai isi dengan kuku sedikit sebanyak merangsang kepercayaan remaja terhadap kata-kata kawan mereka. Oleh sebab menjadi pak turut kawan, majoriti mereka sama-sama ponteng sekolah, sama-sama membeli rokok lalu merasai asap rokok tanpa menyedari kebahayaan rokok. Selepas terjebak dan ketagihan rokok, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada tabiat buruk ini lagi.

Ibu bapa yang kurang memberikan kasih sayang dan tidak prihatin akan perubahan sikap anak-anak juga merupakan faktor remaja merokok. Hal ini demikian kerana ibu bapa pada zaman berteknologi ini terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan sehingga mengabaikan tanggungjawab keibubapaan mereka. Sikap ibu bapa ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mereka sanggup mengabaikan kasih sayang dengan memberi wang kepada anak-anak mereka sebagai gantian kasih sayang. Anak-anak yang belum berfikiran matang pula menyalahgunakan wang tersebut tanpa kawalan ibu bapa. Hal ini menyebabkan remaja dapat membeli rokok dengan mudah kerana harganya masih murah.

Secara tuntas, saya berpendapat bahawa gejala merokok sebenarnya dapat diatasi sehingga akar umbi. Namun begitu, semua pihak haruslah bersikap bagai aur dengan tebing untuk bekerjasama membanteras gejala merokok dalam kalangan anak-anak. Remaja haruslah bangun daripada kesalahan yang dibuat oleh mereka kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh hal yang demikian, penjagaan kesihatan diri ialah tanggungjawab sendiri. Jika kita berkesedaran dan berfikiran matang, nescaya dapat meningkatkan tahap kesihatan diri dengan menjauhi tabiat merokok. Saya berharap pihak berkenaan, terutamanya kerajaan dapat mempergiat kempen antimerokok agar remaja dapat menjauhi gejala merokok yang mampu membawa maut dalam jangka masa panjang.

500+ patah perkataan.
Pada Pukul 17:50 Dimuatnaikkan oleh CIKGU TAN C L 0 Komen

Ramalam Karangan SPM 2 - Karangan Bergambar (Bahagian A)

Dipetik daripada blog Cikgu Tan CL


Ramalam Karangan SPM 2 - Karangan Bergambar (Bahagian A)
Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian, permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan tingting memainkan peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.


Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini tidak hilang ditelan zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan bermain permainan tradisonal merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.


Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai lambang keagungan bangsa dan negara tercinta ini. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni. Kini, kerajaan sudah pun menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa “sambil menyelam, minum air”. Hal ini sekali gus menjana pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.


Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tardisional. Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain memasukkan biji guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak. Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat mengukuhkan semangat perpaduan nasional dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.


Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya menjadi tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Saya berharap, satu hari nanti, permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan tradisional dapat mengharumkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia. Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus popular dalam carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai hobi yang berfaedah. Ayuh kita main congkak!

Monday, October 27, 2008

Pemahaman Prosa Tradisional -Puteri Gunung Ledang

Pemahaman Prosa Tradisional-Puteri Gunung Ledang
Soalan Contoh- Peminangan Puteri Gunung Ledang

Maka pada suatu riwayat orang tua yang berkata-kata itulah Puteri Gunung Ledang, merupakan dirinya seperti orang tua.Telah itu Tun Mamat pun turunlah dari sana, kembali pada Laksamana dan Sang Setia. Maka segala kata Puteri Gunung Ledang itu semuanya dikatakannya pada Laksamana dan Sang Setia. Maka Laksamana dengan segala kawannya itu pun turunlah dari atas Gunung Ledang itu, berjalan kembali ke Melaka. Berapa lamanya di jalan sampailah ke Melaka. Maka Laksamana dan Sang Setia dan Tun Mamat pun masuklah menghadap Sultan Mahmud, dan segala kata yang didengarnya itu semuanya dipersembah­kannya kepada Sultan Mahmud.Maka titah Sultan Mahmud, "Semuanya kehendaknya itu dapat kita adakan; mengeluarkan darah itu juga tiada dapat, kerana tiada sampai hati kita, melainkan berhentilah dahulu.

"i. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa ‘tiada sampai hati’? [2 markah]

Maksud frasa tersebut ialah tidak tergamak.

ii. Bagaimanakah syarat-syarat yang dinyatakan oleh Puteri Gunung Ledang disampaikan kepada Sultan Mahmud? [3 markah]

Syarat-syarat yang dinyatakan oleh Puteri Gunung Ledang disampaikan kepada Sultan Mahmud diterangkan kepada Tun Mamat. Kemudian Tun Mamat memberitahu syarat-syarat itu kepada Laksamana. Kemudian Laksamana, Sang Setia, dan Tun Mamat sendiri menyampaikan syarat-syarat itu kepada Sultan Mahmud.

iii. Pada pendapat anda, mengapakah Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat yang luar biasa kepada Sultan Mahmud yang ingin meminangnya. [3 markah]

Pada pendapat saya, Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat yang luar biasa kepada Sultan Mahmud kerana tujuannya untuk menolak peminangan tersebut, ingin membuktikan ketinggian martabatnya, dan ingin menguji kesungguhan Sultan Mahmud untuk meminangnya.

Posted by agy7500 at 7:14 AM 0 comments
sumber : http://agy7500.blogspot.com/

Pemahaman Prosa Moden-Virus Zel Untuk Abah

Sunday, October 26, 2008
Pemahaman Prosa Moden-Virus Zel untuk Abah
Soalan contoh:- Cerpen VIRUS ZEL UNTUK ABAH

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

Aku kembali tersandar. Namun mataku masih jatuh pada dada monitor. Cursor yang bergerak-gerak semakin kutenung dalam-dalam. Jemariku tetap berada di kepala tetikus. Sengaja aku lari-larikan cursor ke kiri, kanan, atas, bawah. Kemudian dengan teliti aku menekan huruf-huruf pada papan kekunci sehingga terbentuk frasa:
ZEL VS ABAH.
Di luar sedar tiba-tiba sahaja ada dub dab dub dab yang maha kencang di dalam sana. Ada keringat dingin yang entah bila mula tumbuh di pangkal dahi. Aku mengengsotkan kerusi beroda menghampiri suis sistem penyaman udara yang terletak di ruang muka tembok bilik. Angka tiga kuubah ke angka lima. Penyaman udara itu yang menggabungkan proses pendinginan sejatan dengan penyahlembapan bahan pengering itu memang aku yang syorkan kepada mama. Dengan alat alternatif nyaman itu, bahan penyejuk yang memusnahkan ozon dan pemampat yang menggunakan banyak tenaga, tidak lagi diperlukan.Aku menggenggam erat kelima-lima jari kanan. Kuhentak meja, melepaskan geram. Ah, segala-galanya sungguh kejam! Mengapa semuanya itu harus menimpa aku yang tidak berdaya? Aku yang kerap mendengus apabila menerima hempapan konkrit rumit. Sejurus itu kata-kata seorang teman yang setia menyua harapan dan ketenteraman luhur yang tidak terhingga menyinggah."Allah hanya akan menguji hamba-Nya mengikut kekuatan akal dan imannya. Tidak diberatkan dengan apa yang berada di luar daya hamba-Nya. Insya-Allah ada hikmah yang tersirat, yang sebenarnya kita sendiri tidak menyedarinya. Percayalah.”

i. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa ‘Ada keringat dingin’? [2 markah]

Maksud frasa tersebut ialah terdapat peluh sejuk.

ii. Pada pandangan anda, mengapakah perkembangan teknologi maklumat kadang-kadang mendatangkan kesan buruk terhadap manusia? [3 markah]

Pada pandangan saya, perkembangan teknologi maklumat kadang-kadang mendatangkan kesan buruk terhadap manusia kerana kemungkinan teknologi disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik. Selain itu, ada kemungkinan berlaku pencerobohan maklumat orang lain, dan pengaksesan bahan-bahan yang berunsur negatif dapat mendatangkan pengaruh negatif terhadap minda golongan remaja.

iii. Huraikan tema dan persoalan-persoalan cerpen di atas? [4 markah]

Cerpen ini bertemakan kekeluargaan, iaitu tekanan perasaan seorang remaja akibat perpecahan keluarga. Persoalan-persoalannya pula ialah persoalan tentang perbezaan status antara suami dengan isteri mencetuskan konflik, iaitu bapa Zel memiliki kelulusan yang lebih rendah berbanding ibunya, anak remaja memerlukan kasih sayang ibu dan ayah semasa membesar. Akhirnya ialah persoalan tentang penyalahgunaan teknologi untuk membalas dendam. Zel berhasrat untuk menceroboh sistem komputer bapanya bagi memusnahkan data di dalamnya.

Posted by agy7500 at 7:17 AM 0 comments
( Sumber : http://agy7500.blogspot.com/).

ANDA MERUPAKAN APA YANG ANDA FIKIRKAN

Pelajar yang dikasihi sekalian,
Tentu anda pernah dengar atau terpandang pada ungkapan ini.
'ANDA Merupakan Apa Yang ANDA FIKIRKAN.
Segala-galanya bermula dari minda anda. Sekiranya anda befikir
sesuatu yang negatif, hasilnya pasti negatif. Sekiranya anda fikirkan
sesuatu yang positif, hasilnya pasti positif, kerana itulah mantan Perdana Menteri Kita,
Tun Dr, Mahathir sentiasa menggalakkan rakyat Malaysia berfikiran
positif, 'Fikirkan boleh' dalam apa-apa jua bidang yang anda lakukan.

Pelajar sekalian,
Jika anda tidak pernah terfikir bahawa anda akan memperoleh A
dalam Bahasa Melayu, sudah tentu anda tidak akan medapat A dalam subjek tersebut.
Lantaran itu, sekarang juga fikirkan bahawa anda akan memperoleh A dalam Bahasa Melayu.
Lihat, kecanggihan teknologi telah membolehkan anda mendapat bahan daripada internet
selain buku-buku yang ada di pasaran. Jadi jangan risau lagi. Kuatkan semangat anda!
Fikirkan anda BOLEH. Yang pastinya anda pasti memperoleh A dalam Bahasa Melayu.

Cikgu Jeffri

Topik Penting SPM 2008

Bagaimanakah persediaan pelajar-pelajar tentang
kertas 1 dan kertas 2 Bahasa Melayu SPM?
Di sini, cikgu copy bahan untuk rujukan pelajar daripada
blog Cikgu Abdul Ghalib Yunus-AGY
(Sumber: http://agy7500.blogspot.com/).
Cikgu AGY sememangnya seorang guru yang arif dalam Bahasa Melayu.
Cikgu sendiri pun banyak membaca tulisan beliau dalam
majalah Pelita Bahasa beberapa tahun yang lalu.
Jadi, manfaatkanlah ilmu yang ada pada beliau.-Cikgu Jeffri Aiman.


Fokus Soalan Puisi 2008-Keindahan Yang Hilang
Soalan:Baca puisi di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

Keindahan Yang Hilang
I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
terbang beriring di rembang petang
renik-renik mengirai bulu carik
melayang satu-satu berbaur debu
lesu berapungan di air lalu.

Daun-daun menghijau alangkah segar
kemilau danau disinar mentari
kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
kedamaian melingkar rimbalalu tumpah kasih nan jernih
erat bertaut cinta kasih.

Malam hiba dadanya ungu luka
pungguk tersedu pilu di atas batu
bulan tiada lagi mendandan wajah
bintang malam pudar sinarnya.

II
Orang bicara bulan bintang di makmal
pada buku, data dan komputer
lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka
bisa kembara di planet dan angkasa.

Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan
Suara siapa parau mendera di malam lara
Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?

III
Bulan kini bukan menara kasih jernih
bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.

i. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa kemilau danau disinar mentari? [2 markah]

Maksud frasa tersebut ialah tasik bersinar disuluh suria.

ii. Pada pandangan anda, mengapakah sungai-sungai perlu dipelihara daripada pencemaran? [3 markah]

Pada pandangan saya, sungai-sungai perlu dipelihara daripada pencemaran kerana sungai merupakan sumber air minuman yang utama, sungai sebagai sumber pertanian, dan sungai merupakan habitat hidupan akuatik.

iii. Huraikan gaya bahasa personifikasi yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]

Gaya bahasa personifikasi ialah gaya bahasa yang memberikan sifat manusia kepada unsur-unsur bukan manusia. Contoh-contoh gaya bahasa personifikasi dalam sajak ini ialah ’malam hiba dadanya ungu luka’, ’pungguk tersedu pilu di atas batu’, dan ’bulan tiada lagi mendandan wajah’.

(Dipetik daripada Buku Longman Super Skor Bahasa Malaysia Tg. 5)
Posted by agy7500 at 7:00 AM 0 comments
Friday, October 24, 2008