Monday, June 29, 2009

Isu-isu Penting Karangan SPM 2009

Oleh sebab banyak pelajar yang mengemukakan pertanyaan tentang topik atau isu-isu penting yang berkaitan dengan soalan karangan SPM tahun ini, elok sekiranya saya paparkan isu-isu tersebut kali ini. Isu-isu tersebut dirasakan penting kerana belum pernah disoal dalam peperiksaan SPM sebelum ini. Selain itu, isu-isu tersebut juga terdapat dalam buku teks Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

Walau bagaimanapun, isu-isu tersebut dijangkakan sahaja akan disoal dan tidak semestinya akan disoal dalam peperiksaan SPM nanti. Jadi, selain isu yang dikemukakan ini, pelajar-pelajar juga perlu menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lain. Hal ini demikian kerana ada juga soalan yang dijangka disoal tetapi tidak disoal dalam peperiksaan dan begitu juga sebaliknya soalan yang tidak disangka-sangka akan disoal tetapi disoal dalam peperiksaan.Isu-isu yang dirasakan penting untuk diberikan perhatian pada tahun ini telah disesuaikan dalam bentuk soalan contoh karangan SPM.

1. Warisan Bangsa
Soalan contoh:Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

2. Dunia Semakin Canggih
Soalan contoh:Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.
Huraikan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.

3. Pelaburan
Soalan contoh:Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.

4. Kenaikan Harga Barang
Soalan contoh:Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah memberikan banyak kesan kepada para pengguna di negara kita.
Jelaskan kesan-kesan tersebut dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah itu.

Saya ingin mengingatkan pelajar bahawa soalan-soalan contoh di atas cuma sebagai soalan panduan untuk membuat latihan penulisan karangan. Pelajar-pelajar boleh membina soalan sendiri dengan bimbingan guru masing-masing.

Di samping itu pelajar perlu berlatih untuk menulis karangan itu sendiri dan bukannya meminta karangan contoh atau menyalin karangan yang sudah siap sedia ditulis oleh orang lain. Pelajar juga dinasihatkan untuk bertanya kepada guru bagi mendapatkan pandangan dan bimbingan.

Drpd Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, June 21, 2009

Kepentingan Teknologi Maklumat

Tajuk: Bincangkan kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) terhadap pembangunan negara.

Pengenalan:
Projek Koridor Raya Multimedia (MSC) merupakan pelan jangka panjang yang mampu mengubah landskap Teknologi maklumat dan Komunikasi (TMK) negara. TMK berupaya menjana pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

A. Kepentingan TMK1.
Memantapkan pentadbiran negaraKerajaan Elektronik - sistem pentadbiran kerajaan akan menggunakan TMK sepenuhnya. Segala data didokumentasikan untuk membolehkan pemprosesan data lebih pantas, cekap dan efisien.

2. Meramal fenomena dan kejadian alam ( remote sensing )
Kemajuan TMK melibatkan penggunaan satelit. Satelit berupaya meramal fenomena alam dan cuaca dunia. Cth: mengesan bencana alam seperti tsunami pada hari muka. Teknologi ini juga penting dalam bidang pelayaran. Memberikan panduan kepada pengguna laluan laut.

3. Melahirkan masyarakat saintifik
Kewujudan sistem sekolah bestari mampu melahirkan masyarakat saintifik dan berinovatif. Para pelajar menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Tamsilannya, pelajar boleh mendapatkan nota-nota yang berkaitan dengan akademik daripada blog-blog yang berkaitan.

4. Hubungan antarabangsa
Penggunaan alat komunikasi seperti telefon, faksimili, internet dan persidangan video .
Berita mutakhi, tepat dari luar negara diperoleh dengan mudah dan cepat melalui rakaman dan siaran langsung .Hal ini akan merapatkan hubungan antara masyarakat dari negara-negara lain.

5. Meningkatkan tahap kesihatan
Kewujudan teleperubatan membantu para doktor tempatan untuk bertukar-tukar fikiran dengan doktor pakar dari negara luar. Penemuan ubatan dan teknologi perubatan yang terkini dapat disebarkan dengan pantas. Kaedah penjagaan kesihatan secara talian.

6. Penyelidikan dan pembangunan ( R & D )
Rakyat tempatan boleh mempelajari dan memiliki teknologi canggih dari negara luar. Globalisasi mampu meningkatkan persaingan. Bagi mengatasinya, rakyat perlu meningkatkan kualiti produk menerusi R&D.

7. Meningkatkan ekonomi negaraPerdagangan antarabangsa dapat dijalankan secara talian dan meningkatkan pengeluaran dan pemasaran produk tempatan lebih luas . Meningkatkan aliran masuk mata wang asing dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Penutup
Sebagai intiha, TMK sememangnya penting dalam memajukan sesebuah negara. Namun, penyalahgunaannya akan memudaratkan masyarakat dan negara.

Sumber: teluguyuva.net

Pesanan Cikgu Jeffri
Kepada pelajar yang ingin menghantar karangan kepada cikgu untuk disemak, pilih mana-mana 5 isi sudah memadai. Buat 7 perenggan- 1 perengggan pendahuluan, 5 isi, dan 1 perenggan penutup. Hantar ke jeff882@gmail.com