Wednesday, November 11, 2009

NOVEL BAHARU 2010


KOMSAS 13: SENARAI NOVEL BAHARU MENGIKUT ZON 2010

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mulai tahun 2010 pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 4 akan menggunakan teks antologi baharu yang terdiri daripada antologi Harga Remaja untuk Tingkatan 4 dan Kasut Kelopak Jantung untuk Tingkatan 1. Kedua-dua antologi tersebut akan menggantikan teks antologi Sehijau Warna Daun (Tingkatan 1) dan Anak Laut (Tingkatan 4) yang telah digunakan selama 10 tahun. Selain itu, mereka juga akan mengkaji novel-novel baharu mengikut zon masing-masing yang telah ditetapkan seperti berikut:


ZON 1 : NEGERI PERLIS, KEDAH, PULAU PINANG, 
DAN PERAK



Novel Tingkatan 1 - Hikmah,karya Mohd. Faris Ikmal terbitan V. Nice Resources Sdn. Bhd.

Novel Tingkatan 4 - Asfa Hanani, karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


ZON 2 : NEGERI SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA

Novel Tingkatan 1 - Sukar Membawa Tuah, karya M.Z. Erlysha, terbitan Rindu Senja Sdn. Bhd.

Novel Tingkatan 4 - Papa...(Akhirnya Kau Tewas Jua), karya Deana Yusof, terbitan Pekan Buku Publications Sdn. Bhd. 


ZON 3: NEGERI MELAKA, PAHANG, TERENGGANU, DAN KELANTAN

Novel Tingkatan 1 - Bukan Duniaku, karya Aida Shahira, terbitan Karya Hartamas Enterprise.


Novel Tingkatan 4 - Renyah,karya Gunawan Mahmood, terbitan Utusan Publications &Distributors Sdn. Bhd.






ZON 4: NEGERI JOHOR BAHRU, SABAH, SARAWAK, DANWILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN.

Novel Tingkatan 1 - Istana Menanti, karya Abd. Latip Talib, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Novel Tingkatan 4 -
 Melunas Rindu, karya Hartini Hamzah, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Langkah-langkah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Malaysia



Pengangkutan awam di negara kita sedang berkembang maju. Kerajaan juga telah mengadakan pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di kawasan bandar. Jelaskan langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam
.
..........“
Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
.
..........
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
.
..........
Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
.
..........
Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
.
..........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
.
..........
Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
.
..........
Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........
Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

sumber: Cikgu Tan CL

Wednesday, October 7, 2009

Mirip Karangan Sebenar PMR 2009

Rabu, Oktober 07, 2009
BAHASA MELAYU PMR 2009


Karangan Respons Terbuka ( Soalan 1 )
Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh apabila kita mempunyai ramai rakan.
( Karangan contoh - dipetik dari blog Cikgu Ghalib )

Strategi:
T=Memiliki banyak kawan
K=Faedah
F= Umum

Isi:
1. mendapat pelbagai maklumat
2. meningkatkan hubungan silaturahim
3. meningkatkan perpaduan dalam kalangan pelajar
4. dapat membantu kita sewaktu kita mengalami masalah

(AR) Pepatah Melayu menyatakan, “berkasih biar satu, berkawan biar seribu”. (AR) Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita digalakkan berkawan dengan seberapa banyak yang mungkin. (AR) Apabila kita mempunyai banyak kawan, hidup kita tidaklah menjadi seperti katak di bawah tempurung atau sebatang kara. (AR) Orang yang tidak mempunyai banyak kawan atau tidak suka berkawan, mereka akan dikatakan sebagai kera sumbang. (AA) Sebenarnya, banyak faedah yang akan kita peroleh jika kita mempunyai banyak kawan kerana jauhari sahaja yang mengenal manikam.

(AJ) Satu daripada faedahnya ialah kita akan mendapat pelbagai maklumat. (AH) Jika kita akan menghadapi peperiksaan, kita boleh bertukar-tukar maklumat tentang mata pelajaran yang kita pelajari. (AC) Sebagai contohnya, kita boleh bertukar-tukar kertas soalan peperiksaan percubaan atau soalan peperiksaan ujian bulanan melalui e-mel. (AP) Melalui cara ini, maklumat yang akan kita peroleh bertambah lebih-lebih lagi dalam era ini pelbagai maklumat terletak di hujung jari.

Selain itu, (AJ) kawan yang banyak akan meningkatkan hubungan silaturahim. (AH) Apabila kita berkawan dengan banyak orang, hubungan kita dalam masyarakat sangat baik dan mesra. (AC) Sebagai contohnya, kita hendaklah berkawan dengan semua pelajar, guru, kakitangan sekolah, dan sebagainya. (AP) Apabila kita berkawan, kita akan dapat meningkatkan hubungan silaturahim selain kita dapat mengetahui pelbagai ragam manusia kerana banyak udang banyak garam banyak orang banyak ragamnya.

Seterusnya, (AJ) kita akan dapat meningkatkan perpaduan dalam kalangan pelajar. (AH) Di sekolah, terdapat pelbagai kaum. (AH) Jika kita berkawan dengan pelajar daripada kaum lain, kita akan dapat mengenali mereka dengan lebih dekat. (AC) Sebagai contohnya, kita berpeluang untuk meraikan perayaan Deepavali, Tahun Baharu China, Krismas, dan sebagainya dengan mereka. (AP) Melalui cara ini, kita akan dapat meningkatkan hubungan yang baik sesama mereka selain kita dapat meningkatkan perpaduan di negara kita kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Bukan itu sahaja, (AJ) kawan akan dapat membantu kita sewaktu kita mengalami masalah. (AH) Kawan kita kemungkinan mempunyai kepandaian dalam mata pelajaran yang tidak kita kuasai. (AH) Oleh itu, kawan boleh membantu kita untuk menangani masalah tersebut. (AC) Sebagai contohnya, jika kita lemah dalam mata pelaaran Matematik, kita bolehlah meminta pertolongan daripada kawan kita yang bijak dalam Matematik. (AH) Pepatah Melayu mengatakan,”kemenyan sebesar lutut jikalau tidak dibakar manakan berbau.”. (AP) Oleh itu, kita hendaklah mencari kawan yang boleh membantu atau menolong kita, dan bukannya yang membawa kita ke lembah kehinaan.

Kesimpulannya, (A Ksmpln) kita hendaklah sentiasa berusaha untuk berkawan dengan sesiapa sahaja di sekolah atau di luar sekolah. (A Cdgn) Namun demikian, kita hendaklah berhati-hati, iaitu ingat sebelum kena, jimat sebelum habis kerana kawan yang baik akan membawa kita ke syurga, manakala kawan yang jahat akan membawa kita ke neraka. (A Cdgn) Oleh hal yang demikian, pandai-padailah kita untuk membuat pilihan antara intan dengan kaca. (A Pnln) Jika kita bijak memilih kawan, masa depan kita akan lebih bersinar dan bercahaya.

Dicatat oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan di 11:28 0 ulasan
**Pengunjung boleh rujuk karangan ini daripada blog Cikgu Ghalib dan Cikgu Razak

Saturday, October 3, 2009

Karangan Keistimewaan Bangunan Bersejarah

Karangan Keistimewaan Bangunan Bersejarah


Bangunan bersejarah di negara kita amat perlu dikekalkan demi generasi yang akan datang. Bincangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan bangunan bersejarah tersebut.



……………Dalam era permodenan yang dihambat dengan pelbagai kemajuan, Malaysia masih mampu mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai warisan budaya yang unggul. Di kota raya Kuala Lumpur sahaja, tersergam indah bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda kebanggaan penduduknya. Kerajaan turut mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah ini bagi memastikan bangunan tersebut terus utuh sebagai bangunan yang bakal menjadi kebanggaan generasi akan datang. Pada masa yang sama, bangunan bersejarah yang memiliki seni bina yang unik ini dapat dijadikan satu tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara keunikan bangunan tersebut agar tidak pupus ditelan zaman.



……………Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah mengorak langkah bagi mewartakan bangunan bersejarah ini sebagai satu warisan kebangsaan yang perlu dipelihara. Dengan pewartaan ini, bangunan-bangunan yang kebanyakannya dibina pada era penjajah dan berusia ratusan tahun, dapat dijamin kewujudannya dan terhindar daripada sebarang usaha pemusnahan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur umpamanya, telah meletakkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai bangunan bersejarah yang perlu dipertahankan dalam Pelan Induk Pembangunan Kuala Lumpur. Bagi memastikan bangunan tersebut terus kekal, usaha mengindahkan semula bangunan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Kesannya, bangunan kebanggaan negara tersebut kini tersergam indah menanti kunjungan pelancong sama ada dari dalam atau dari luar negara.



……………Bagi memenuhi impian seluruh masyarakat yang ingin melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal, kerajaan juga telah mengambil inisiatif bagi menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di seluruh negara. Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang bukan kecil jumlahnya demi menjalankan usaha membaik pulih bangunan-bangunan lama tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Sebagai contohnya, usaha membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad pada sekitar tahun 2007 yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya telah menelan belanja sebanyak RM20 juta. Hal ini meliputi kerja-kerja menambah kemudahan asas di bangunan tersebut serta menambah baik struktur bangunan yang telah rosak. Perlu diingat bahawa segala kerja baik pulih tersebut hanya melibatkan bahagian dalam bangunan sahaja, manakala struktur dan bentuk bahagian luar bangunan tersebut masih dikekalkan dengan ciri-ciri lamanya. Maka, dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, hasrat masyarakat untuk melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal akan dapat dicapai.



……………Pada masa yang sama, malaksanakan usaha bagi mengindahkan kawasan persekitaran bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita dengan lanskap yang menarik. Antaranya adalah dengan mengindahkan taman-taman bunga daripada pelbagai jenis flora yang terdapat di negara kita. Hal ini bertujuan untuk memastikan bangunan tersebut sentiasa mendapat kunjungan daripada orang ramai. Kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di bahagian dalam mahupun di bahagian persekitaran turut diperbaiki atau ditambah nilai. Sebagai contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad turut dilengkapi dengan kemudahan ‘lift’, alat keselamatan serta tempat meletak kenderaan kepada para pengunjung. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, bangunan-bangunan bersejarah tersebut mampu menggamit kehadiran pengunjung sekali gus memperkenalkan budaya kita kepada masyarakat luar negara.



……………Selain itu, salah satu elemen penting yang mendasari usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di negara kita adalah keterlibatan semua agensi yang berkaitan dengan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan. Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebagai contohnya sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha pengekalan bangunan-bangunan bersejarah di seluruh negara. Hal ini adalah bagi tujuan memastikan agar semua bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan sentiasa terpelihara dan selamat dikunjungi. Tida cukup dengan usaha tersebut, beberapa buah universiti di tanah air kita sering kali menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti struktur dan reka bentuk bangunan ini menepati ciri-ciri yang diharapkan oleh masyarakat Malaysia. Usaha ini turut ditanamkan dalam jiwa kalangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sejarah di mana mereka turut menjalankan kajian tentang bangunan-bangunan bersejarah di negara kita. Penyelidikan yang berterusan ini mampu menanamkan sikap cinta akan warisan budaya kita sesuai dengan matlamat kerajaan membangunkan nilai patriotism dalam jiwa remaja kita hari ini.



…………...Bagi menyempurnakan cita-cita luhur untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di negara kita, kerajaan turut bertindak memperkenalkan bangunan warisan tersebut kepada pelancong dari seluruh dunia. Usaha ini didepani oleh Kementerian Pelancongan dan juga Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia yang sentiasa merintis jalan bagi memperkenalkan tempat-tempat menarik di Malaysia. Melalui usaha ini, bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai tempat lawatan wajib bagi pelancong yang mengikuti pakej anjuran Kementerian Pelancongan. Langkah memperkenalkan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A famosa, Istana Jugra dan sebagainya mampu merealisasikan hasrat kita bagi mengekalkan bangunan bersejarah tersebut agar terus kekal di persada dunia. Pada masa yang sama, pemeliharaan bangunan bersejarah ini dapat mengekalkan fakta-fakta yang lebih jelas tentang budaya masyarakat kita yang hidup dan berkembang dalam lingkungannya yang begitu unik.



……………Intiharnya, kewujudan bangunan bersejarah di negara kita yang wujud sejak abad ke dua puluh lagi, mengambarkan kepelbagaian corak hidup masyarakat dahulu kala. Justeru, usaha untuk mengekalkan bangunan tersebut bagi tatapan generasi akan datang adalah amat perlu dilaksanakan demi kesinambungan budaya masyarakat kita. Budaya silam adalah cerminan masyarakat kita hari ini kerana budaya menunjukkan bangsa. Lantas, tanggungjawab kita adalah perlunya memberi kerjasama kepada pihak yang terbabit agar usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah tersebut akan terus kekal padu dan berpanjangan.

................................................................................................................................

Karangan Bangunan Bersejarah 2:

Tulis sepucuk surat kepada seorang rakan anda yang berada di luar negara bagi menceritakan sebuah bangunan bersejarah yang terdapat di negara anda. Di dalam surat tersebut, tuliskan keindahan yang terdapat pada bangunan itu dan langkah-langkah untuk memuliharanya.



…………………………………………..………....Ajila Binti Ajijul

…………………………………………..………....No.3, Jalan Kayu Ara,

……………………………………………..……....Taman Kayu-kayan, Cheras,

……………………………………………..……....56100 Kuala Lumpur.

……………………………………………..………. 13 Julai 2009.



……………Menemui sahabatku yang jauh di mata, Saudari Anne Van Der Houston yang kini berada di Armsterdam, Belanda. Semoga saudari dan keluarga saudari berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera selalu.



Saudari Anne,

…………….Bagaimanakah keadaan diri saudari di sana? Saya berharap agar saudari sentiasa dalam keadaan gembira. Saya dan keluarga saya di Kuala Lumpur sihat seperti selalu. Namun begitu, keadaan cuaca yang agak panas terik sejak akhir-akhir ini membuatkan saya berasa mudah letih. Untuk makluman saudari, pada masa ini saya sedang sibuk mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan oleh sekolah saya terutamanya pada waktu petang iaitu selepas waktu persekolahan. Hal ini bertujuan agar kami dapat mengingati semula isi-isi pelajaran yang telah kami pelajari di samping memperkenalkan kami pada bentuk soalan Sijil Pelajaran yang akan datang. Biasanya saya akan tiba di rumah pada lewat petang. Walau bagaimanapun, saya berharap agar saudari mendoakan saya supaya saya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.



Sahabatku Anne,

……………Sebenarnya tujuan saya menulis bingkisan ini adalah untuk menceritakan bangunan bersejarah yang terdapat di negara saya. Bangunan yang saya maksudkan ialah bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan ini merupakan sebuah bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan. Jika saudari ke Kuala Lumpur, saudari akan dapat melihat bangunan ini tersergam indah di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Kedudukannya terletak di pertemuan antara Sungai Kelang dengan Sungai Gombak. Untuk makluman saudari, bangunan ini telah dibina pada tahun 1893 iaitu semasa Malaysia masih dijajah oleh kuasa British. Sehingga hari ini, bangunan ini masih tegap berdiri serta menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur.



……………Bangunan Sultan Abdul samad merupakan sebuah bangunan yang unik dan mempunyai ciri seni bina Islam yang dibawa masuk dari luar negara. Tingkap dan pintunya berbentuk lengkung yang menandakan ciri bangunan di Cordova, manakala tiga buah kubah separuh bulat yang terdapat di atas bumbung bangunan tersebut bercirikan seni bina istana Taj mahal di India. Keindahan seni bina ini telah berjaya menggamit kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Sekiranya saudari berkunjung ke Kuala Lumpur, rugi rasanya jika saudara tidak singgah ke bangunan ini. Hal ini bukan sahaja dari segi keunikannya malah bangunan ini turut memiliki pelbagai nostalgia dan sejarah kepada penduduk di negara saya. Justeru, Kementerian Pelancongan dan Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia telah menjadikan bangunan ini sebagai pusat kunjungan para pelancong yang melawat ke Malaysia.



Saudari Anne,

……………Keindahan Bangunan Sultan Abdul Samad ini bukan hanya terletak pada ukirannya di bahagian luar sahaja malah bahagian dalam bangunan ini turut dilengkapi dengan seni bina yang amat unik. Bahagian lantai bangunan ini dilengkapi dengan kemasan jubin bermutu tinggi berwarna kemerahan. Dindingnya pula dihiasi dengan corak dan lakaran yang amat halus buatannya dan sukar ditandingi oleh pereka moden pada hari ini. Turut menampilkan ciri unik di dalam bangunan ini ialah terbentuknya sebuah dataran yang luas di bahagian dalam bangunan ini yang menempatkan hiasan pokok-pokok bunga dengan penjagaan yang kemas dan rapi. Akhir sekali, saudari juga berpeluang melihat tangga berpusing yang menghubungkan tingkat bawah ke bahagian kubah di tingkat atas bangunan itu. Jadi, jika berkesempatan ke Malaysia jangan ketinggalan untuk singgah ke bangunan ini.



Sahabatku Anne,

……………Memandangkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebuah bangunan yang amat berharga dan memiliki nilai kesenian yang tinggi, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia bagi memelihara bangunan ini supaya terus kekal. Antaranya adalah dengan mewartakannya sebagai warisan kebangsaan. Dengan pewartaan itu, bangunan ini menjadi bangunan yang terpelihara dan tidak boleh diganggu gugat. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah meletakkan bangunan ini sebagai bangunan bersejarah yang perlu dipelihara dalam Pelan Pembangunan Bersepadu Kuala Lumpur. Perisytiharan tersebut turut menjadikan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai mercu tanda Kuala Lumpur dan sebagai khazanah lampau yang terus terpelihara.



……………Pada masa yang sama, kerajaan juga berusaha untuk membaik pulih struktur bangunan yang telah rosak dengan melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan. Pada tahun 2007 sahaja, Jabatan Kerja Raya telah menjalankan usaha baik pulih berjumlah RM20 juta. Usaha menaik taraf bangunan ini dilakukan bagi meningkatkan kemudahan asas di bahagian dalam bangunan ini termasuk menyediakan kemudahan keselamatan, ruang pameran, ‘lift’, tempat letak kereta dan sebagainya. Walaupun usaha baik pulih ini dilaksanakan namun keaslian bahagian luar bangunan ini tetap dipelihara kerana ciri-ciri keaslian dan ketulinan struktur bangunan ini masih dikekalkan mengikut bentuk asal bangunan ini.



Sahabatku Anne,

……………Memandangkan masa yang tidak mengizinkan, setakat ini dahulu bingkisan yang sempat saya tulis untuk saudari. Saya amat berbesar hati menjemput saudari sekeluarga datang ke negara saya untuk menikmati keindahan bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara saya. Di sini nanti, bolehlah saudari mengambil gambar di kawasan bangunan tersebut atau menjalankan kajian untuk menambah pengetahuan saudari.



……………Akhir kata, sambutlah salam manis daripada saya dan keluarga saya di sini. Sampaikan salam saya kepada keluarga saudari di Belanda. Jumpa lagi pada bingkisan yang akan datang.



……………Sekian, terima kasih.







……………………………………………… Sahabatmu yang jauh,

…………………………………………………………… AjilaAjijul







sumber: bmpmrspm.blogspot
sumber : http://peony-edu.blogspot.com/

Wednesday, September 23, 2009

Koleksi Soalan Percubaan Negeri SPM 2009

Rakan Guru dan Pelajar boleh dapatkan
Koleksi Soalan Percubaan Negeri SPM 2009
di blog pautan berikut :

http://koleksisoalan.blogspot.com/2009/09/percubaan-spm-negeri-2009.html

Wednesday, September 9, 2009

Hak Asasi

ARKIB Utusan Malysia: 09/09/2009

Mendidik hak asasi bukan mudah

ANGKA 9.9.99 dan 9.9.09 memang menarik. Apatah lagi jika dijenguk keistimewaan di sebalik kedua-dua tarikh itu dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun dari sudut fizikal mahu pun rohani.

Pada tarikh yang pertama - negara menyaksikan tertubuhnya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) - satu pertubuhan yang ditunggu-tunggu 10 lalu bagi meningkatkan kesedaran rakyat negara ini perihal hak asasi.

Usaha negara untuk menubuhkan institusi hak asasi manusia itu bermula dengan penyertaan aktif dalam Suruhanjaya BangsaBangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) pada tahun 1993.

Penglibatan aktif Malaysia mewajarkan pertubuhan dunia itu memberi penghormatan kepada negara apabila Tan Sri Musa Hitam dilantik Pengerusi sesi ke-52 UNCHR pada tahun 1995, manakala keanggotaan Malaysia dalam suruhanjaya tersebut dilanjutkan bagi penggal kedua, iaitu dari 1996-1998, dan seterusnya ke penggal ketiga (2001-2003).

Rentetan daripada itu, timbul cadangan supaya suruhanjaya seperti itu ditubuhkan di peringkat domestik. Hasilnya Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597 diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulung Suhakam dilangsungkan pada 24 April 2000.

Tarikh kedua iaitu hari ini pula genaplah sepuluh tahun penubuhan Suhakam. Semestinya tempoh tersebut boleh dijadikan penanda aras fasa pertama sejauh mana suruhanjaya itu berjaya melaksanakan fungsinya sejajar dengan objektif penubuhannya iaitu antara lain untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan berhubung hak asasi manusia.

Suhakam juga ditubuhkan bertujuan menasihati dan membantu kerajaan merumuskan perundangan, arahan dan tata cara pentadbiran serta mengesyorkan langkah-langkah yang perlu.

Paling diberi perhatian adalah fungsi Suhakam untuk menyiasat aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia yang ketika ini menjadi isu hangat bukan saja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Malah dalam beberapa objektif utama penubuhan suruhanjaya itu, bidang kuasa itulah yang menjadi tumpuan dan sentiasa diperkatakan hingga ke satu peringkat Suhakam dikatakan tidak mempunyai kuasa sebenar dalam melaksanakan fungsinya.

Ini kerana ramai yang berpendapat ada keterbatasan di pihak Suhakam untuk menjalankan siasatan manakala tindakan lanjut yang dicadangkan oleh suruhanjaya itu juga sering dilihat sebagai terhad dan tidak mempunyai kuasa perundangan.

Persoalannya di paras mana kesedaran rakyat Malaysia tentang hak asasi manusia. Adakah kesedaran itu mengikut lorong yang dikehendaki atau ia sekadar terikut-ikut dengan laungan perjuangan hak asasi di Barat yang langsung tiada sempadan?

Atau kesedaran rakyat negara ini tentang hak asasi manusia hanya berkisar tuntutan keterlaluan seolah-olah hak asasi manusia itu tiada batasan atau undang-undang yang bertindak sebagai pengawal untuk memastikan keterujaan hak asasi tidak merosakkan merosakkan dunia.

Kita sendiri sedar, tuntutan yang sering diketengahkan antara lain berkaitan dengan kebebasan bersuara dan kebebasan media yang mahu dibebaskan daripada belenggu akta-akta yang digubal khas untuk memantau aktiviti tersebut.

Dalam perjuangan mendapatkan hak asasi untuk meluahkan pendapat, pandangan menerusi suara dan tulisan, kumpulan yang menuntut kebebasan itu tidak mahu dikongkong.

Mereka mahu bebas melontarkan apa sahaja idea, pandangan tanpa berhadapan dengan kemungkinan diheret ke mahkamah di bawah akta hasutan atau akta percetakan.

Tetapi mampukah atas nama hak asasi manusia, kesemua peraturan dan undang-undang dirungkai sedangkan semakin banyak pihak menggunakan akta itu dan ini untuk mengheret mana-mana orang perseorangan atau syarikat akhbar yang menyiarkan berita menggelarkan mereka 'pengkhianat' atau apa juga gelaran yang tidak digemari.

Adakah manusia berjaya menggunakan kewarasan akalnya untuk memastikan setiap suara dan tulisan dapat dikawal atas nama hak asasi, sedangkan di negara-negara maju yang menjadi idola pejuang hak asasi manusia masih berselirat dengan ikatan peraturan dan undang-undang berhubung hak asasi manusia.

Sebab itu sebenarnya selepas 10 tahun penubuhan Suhakam, cabaran sebenar yang perlu diatasi adalah bagaimana mendidik rakyat negara ini perihal hak asasi manusia dengan cara yang betul.

Langkah itu penting supaya definisi hak asasi manusia dapat difahami oleh rakyat negara ini supaya mereka dapat membezakan antara tuntutan hak asasi manusia yang terlampau dengan keperluan tuntutan sebenar yang mesti dipenuhi.

Proses mendidik rakyat itu yang paling penting, lantaran jika tersilap didik atau tidak cukup didikan maka akan terbentuklah kumpulan rakyat yang tidak tahu apa keutamaan dan apa sebenarnya yang dikatakan hak asasi manusia.

Maka pelan tindakan yang akan dicadangkan Suhakam kepada kerajaan sempena 10 tahun penubuhan suruhanjaya itu seharusnya menumpukan kepada aspek pendidikan dan penilaian sejauh mana rakyat negara ini faham tentang istilah hak asasi manusia yang sebenar.

Aspek itu penting kerana cadangan itu bakal dijadikan strategi hak asasi manusia negara.

NORAINI ABD. RAZAK

Sunday, August 30, 2009

Topik Penting Novel SPM 2009

Antara Topik penting yang harus diberikan perhatian ialah

1. Teknik plot
2. Gaya Bahasa
3. Sinopsis

Perbandingan berdasarkan dua buah novel
1. watak utama
2. persoalan
3. nilai