Monday, October 27, 2008

Pemahaman Prosa Moden-Virus Zel Untuk Abah

Sunday, October 26, 2008
Pemahaman Prosa Moden-Virus Zel untuk Abah
Soalan contoh:- Cerpen VIRUS ZEL UNTUK ABAH

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

Aku kembali tersandar. Namun mataku masih jatuh pada dada monitor. Cursor yang bergerak-gerak semakin kutenung dalam-dalam. Jemariku tetap berada di kepala tetikus. Sengaja aku lari-larikan cursor ke kiri, kanan, atas, bawah. Kemudian dengan teliti aku menekan huruf-huruf pada papan kekunci sehingga terbentuk frasa:
ZEL VS ABAH.
Di luar sedar tiba-tiba sahaja ada dub dab dub dab yang maha kencang di dalam sana. Ada keringat dingin yang entah bila mula tumbuh di pangkal dahi. Aku mengengsotkan kerusi beroda menghampiri suis sistem penyaman udara yang terletak di ruang muka tembok bilik. Angka tiga kuubah ke angka lima. Penyaman udara itu yang menggabungkan proses pendinginan sejatan dengan penyahlembapan bahan pengering itu memang aku yang syorkan kepada mama. Dengan alat alternatif nyaman itu, bahan penyejuk yang memusnahkan ozon dan pemampat yang menggunakan banyak tenaga, tidak lagi diperlukan.Aku menggenggam erat kelima-lima jari kanan. Kuhentak meja, melepaskan geram. Ah, segala-galanya sungguh kejam! Mengapa semuanya itu harus menimpa aku yang tidak berdaya? Aku yang kerap mendengus apabila menerima hempapan konkrit rumit. Sejurus itu kata-kata seorang teman yang setia menyua harapan dan ketenteraman luhur yang tidak terhingga menyinggah."Allah hanya akan menguji hamba-Nya mengikut kekuatan akal dan imannya. Tidak diberatkan dengan apa yang berada di luar daya hamba-Nya. Insya-Allah ada hikmah yang tersirat, yang sebenarnya kita sendiri tidak menyedarinya. Percayalah.”

i. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa ‘Ada keringat dingin’? [2 markah]

Maksud frasa tersebut ialah terdapat peluh sejuk.

ii. Pada pandangan anda, mengapakah perkembangan teknologi maklumat kadang-kadang mendatangkan kesan buruk terhadap manusia? [3 markah]

Pada pandangan saya, perkembangan teknologi maklumat kadang-kadang mendatangkan kesan buruk terhadap manusia kerana kemungkinan teknologi disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik. Selain itu, ada kemungkinan berlaku pencerobohan maklumat orang lain, dan pengaksesan bahan-bahan yang berunsur negatif dapat mendatangkan pengaruh negatif terhadap minda golongan remaja.

iii. Huraikan tema dan persoalan-persoalan cerpen di atas? [4 markah]

Cerpen ini bertemakan kekeluargaan, iaitu tekanan perasaan seorang remaja akibat perpecahan keluarga. Persoalan-persoalannya pula ialah persoalan tentang perbezaan status antara suami dengan isteri mencetuskan konflik, iaitu bapa Zel memiliki kelulusan yang lebih rendah berbanding ibunya, anak remaja memerlukan kasih sayang ibu dan ayah semasa membesar. Akhirnya ialah persoalan tentang penyalahgunaan teknologi untuk membalas dendam. Zel berhasrat untuk menceroboh sistem komputer bapanya bagi memusnahkan data di dalamnya.

Posted by agy7500 at 7:17 AM 0 comments
( Sumber : http://agy7500.blogspot.com/).

No comments: