Sunday, October 16, 2011

Analisis RUMUSAN 2001-Jun 2011

ANALISIS SOALAN 1 : MERUMUSKAN KARANGAN
KERTAS 2 BAHASA MELAYU SPM (NOV 2001-JUN 2011)
SPM
SKOP SOALAN
KATA YANG SESUAI UNTUK PENDAHULUAN
NOV 2001
Tanggungjawab penulis
peranan/ sumbangan/ tugas
JUN  2002
Peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara
sumbangan/ kepentingan/ fungsi/ tugas
NOV 2002
Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/ pendekatan/ teknik-teknik/ strategi/tindakan
JUN  2003
Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran moral masyarakat.
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/ pendekatan/  strategi/tindakan
NOV 2003
Kepentingan pelabelan makanan
faedah/ manfaat/ kelebihan/ kebaikan
JUN  2004
Masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan  awam di Malaysia.
kekangan/ kesulitan/ kerumitan/ hambatan
NOV 2004
Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya.
manfaat/ kebaikan/ kelebihan/ kepentingan
JUN  2005
Cara-cara mengurus tekanan dankepentingan pengurusan tekanan kepada individu
langkah-langkah/ kaedah-kaedah/ usaha-usaha/ pendekatan/ strategi 
NOV 2005
Faedah-faedah hidup berjiran dancara-cara memupuk semangat kejiranan
manfaat/kepentingan/ kelebihan/kebaikan 
JUN  2006
Kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja berpasukan.
faedah/ manfaat/kepentingan/ kebaikan/ keberkesanan 
NOV 2006
Cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat
langkah-langkah/ kaedah-kaedah/ usaha-usaha/ pendekatan/ strategi 
JUN 2007
Kepentingan terumbu karang di Malaysia dan kaedah pemuliharaannya
faedah-faedah/manfaat/kelebihan/kebaikan
NOV 2007
Tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara.
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/langkah-langkah/ pendekatan/ teknik-teknik/ strategi
JUN 2008
Faedah membaca dan cara-caramenggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

manfaat/ kepentingan/ kebaikan/ kelebihan
NOV 2008
Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas  dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas
  manfaat/ kepentingan/ kebaikan/  
  kelebihan
JUN 2009

Punca-punca  keracunan makanan dankesan-kesan keracunan makanan..
  faktor-faktor /sebab-sebab
NOV 2009

Kepentingan  tidur dari segi saintifikdan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur
  faedah/ manfaat/ kelebihan/ kebaikan
 
JUN 2010

Kesan pemanasan global dan sebab-sebab masyarakat kurang mengambil berat terhadap fenomena ini
 implikasi/impak/akibat/keburukan/natijah
 
NOV 2010

Kebaikan makan coklat dan cara-caramemajukan industri coklat
manfaat/ kepentingan/ faedah/ 
  kelebihan
JUN 2011

Kepentingan berpeluh kepada manusia dan cara-cara menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti yang mengeluarkan peluh.
 faedah/ manfaat/ kelebihan/ kebaikan
 

Ubah suai berdasarkan sumber asal: Cikgu Shuhaimi bin Sulaiman

Tuesday, July 12, 2011

Bencana Alam

Hakisan Tanah : Faktor Manusia & Semulajadi

JAFIRA DALINA BT JABRI
SMK Agama Sibu

Bencana hakisan merupakan satu fenomena yang serius seperti kejadian tanah runtuh di Kampung Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996 dan hakisan yang berlaku di Sungai Kayu Ara, memerlukan satu pendekatan yang dinamik dan menyeluruh. Fenomena ini merupakan rentetan daripada kegagalan pelbagai tindak balas alam secara  semulajadi dan juga kegiatan manusia. Kaedah pengawalan serta penyelenggaraan dan juga aspek pengurusan yang kurang mengambil berat tentang risiko jangka masa panjang mengakibatkan pelbagai kejadian runtuhan cerun berlaku di merata-rata tempat di dunia.

Aktiviti penebangan hutan dan penggondolan tanah.Tujuannya ialah untuk pembangunan tetapi sebenarnya aktiviti ini telah menyebabkan tanih kehilangan kekuatan dan apabila kadar kadar hujan tinggi maka akan berlaku gelongsoran disebabkan oleh aktiviti air larian permukaan.Permukaan tanah juga menerima hujan secara terus atau langsung dengan kelajuan yang tinggi apabila tiada tumbuhan yang menghalangnya.Ini akan menyebabkan berlakunya percikan dan seterusnya berlaku gelongsoran tanah.

Ativiti penbangunan yang dilakukan di tanah tinggi dan cerun bagi tujuan ekonomi dan petempatan. Cerun-cerun diteres dan tidak dilakukan secara betul.pengurusan cerun yang lemah seperti melakukan potomgan cerun secera menegak dan tiada sistem perparitan yang baik bagi tujuan pengaliran air serta tidak  dibuat tanaman tutup bumi bagi menggelakkan hakisan permukaan. Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa berpunca daripada aliran air dalam tanah yang pada asalnya ditambak di kawasan itu menyebabkan tebing konkrit pada bahagian tebing pecah.

Hakisan dan gelongsoran tanah berlaku akibat daripada berlakunya fenomena ini,ikatan tanih maejadi longgar dan menggelongsor ke bawah.Struktur tanah menjadi berubah dan membentik permukaan baru akibat faktor mampatan dan rengangan oleh gerakan gempa bumi.Hasilnya akan berlaku masalah runtuhan dan hakisan bagi kawasan terbabit.

Kadar hujan yang tinggi  juga menyumbang kiepada hakisan yang gelongsoran tanah.Ini berlaku akibat kandungan air dalam tanah menjadi tepu dan tanah tidak dapat menerima jumlah air yang berlebihan. Di negara kita tanah runtuh kerap berlaku akibat hujan kerana curahan hujan yang banyak boleh menyebabkan tanah menjadi tepu serta licin lalu  terjadi cerun curam.Perkara tersebut akan menyebabkan berlakunya air larian permukaan yang mengangkut tanih dan seterusnya menyumbangkan kepada hakisan permukaan  tanah dan akan berlakunya gelongsoran tanah.

Kajian mengenai hakisan dan runtuhan tanah perlulah dilihat dari sudut kepentingan keseimbangan ekologi dan ekosistem alam serta kepentingan kepada manusia. Manusia perlu mengambil inisiatif dalam pengurusan cerun yang sistematik dan terperinci agar kemusnahan alam semula jadi lebih terkawal. Perkara tersebut juga menentukan keselamatan sejagat bagi mengelakan kehilangan jiwa, harta, benda, serta kemudahan awam.

Pencemaran Udara : Manusia Menjadi Penyebab

Oleh Mohd Asri Bin Morni
SMK Agama Sibu

Pencemaran udara dikaitkan dengan bahan-bahan sintetik dan lain-lain kotoran berbahaya yang meresap dan menjadi sebahagian daripada udara disekeliling kita.Terdapat banyak punca yang menyebabkan kualiti udara kita menurun yang disebabkan oleh manusia itu sendiri.

Antara punca pencemaran udara yang disebabkan oleh manusia ialah kegiatan perindustrian. Persekitaran seperti pengeluaran asap berlebihan dan habuk dari kilang-kilang menyebabkan udara disekeliling kita tercemar oleh partikal-partikal halus logam berat yang keluar dari corong asap kilang.Udara yang mengandungi partikal-partikal tersebut akan disedut oleh manusia dan seterusnya menyebabkan berlakunya penipisan ozon dan kesan rumah hijau. Oleh itu, pihak berkenaan seperti peneraju kilang perlukan perhatian akan hal ini, kerana ia akan menimbulkan banyak masalah pada persekitaran kita.

Perbakaran hutan secara terbuka dan besar-besaran juga antara salah satu factor kepada pencemaran udara.Pembakaran hutan yang berlaku di Indonesiamenyebabkan udara di negara kita juga tercemar.Sikap tidak bermoral ini secara tidak langsung membawa kesusahan kepada orang lain apabila gas karbon monoksia terbebas ke udara hasil kegiatan pembakaran terbuka ini. Contohnya berlaku jerebu. Justeru itu, kesedaran terhadap penjagaan persekitaran perlulah ada dalam diri seseorang agar masalah ini dapat dikurangkan.

Pembalakan haram yang dilakukan oleh manusia secara tidak langsung juga menjadi faktor kepada udara disekeliling kita tercemar. Kekurangan pokok-pokok menyebabkan kandungan oksigen udara kita semakin merosot. Apatah lagi apabila pencemaran udara berlaku.Tumbuhan hijau,seperti pokok-pokok terutamanya menjadi sumber utama kepada udara yang berkualiti.Jika pembalakan haram ini terus berleluasa,sumber kepada udara bersih kita juga akan berkurangan.

Tuntasnya, aktiviti seperti ini perlu dihentikan demi untuk menjaga persekitaran kita.

Pencemaran udara juga berpunca daripada penggunaan bahan-bahan beracun dalam kehidupan seharian manusia, sebagai contoh, penggunaan racun penyembur rumput, racun pembunuh nyamuk dan sebagainya boleh menjejaskan kualiti udara kita jika digunakan secara berlebihan.Kandungan bahan beracun seperti rodentisid, insektisid dan naftalin ini boleh mencemarkan udara apabila terbebas ke udara semasa manusia menggunakannya. Jelas bahawa manusia boleh menjadi agen utama pencemaran udara.

Tuntasnya, penggunaan bahan-bahan seperti ini perlu dikurangkan untuk menjamin kualiti udara yang bersih. Pencemaran udara yang disebabkan oleh manusia akan membahayakan nyawa manusia itu sendiri.Oleh itu,semua pihak haruslah bekerjasama dalam mengatasi masalah pencemaran udara ini agar kehidupan seharian kita akan lebih sihat dan bersih.  

sumber: blog Cikgusue

Saturday, October 9, 2010

Karangan SPM 2010 – Bencana Alam

Fokus Karangan SPM 2010 – Bencana Alam

Antara isu lain yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah isu yang berkaitan dengan bencana alam.

Soalan yang berkaitan dengan isu ini terdapat dalam Kertas 1 (Karangan Respons Terbuka) Peperiksaan Percubaan SPM 2010 negeri Terengganu iaitu Soalan 3.

Kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di negara ini berpunca daripada kerakusan manusia itu sendiri.

      Tulis sebuah rencana tentang faktor-faktor berlakunya tanah runtuh dan kesan-kesannya.

Selain itu, soalan negeri Perak juga menyentuh isu yang sama, cuma soalan tersebut termasuk dalam dimensi isu antarabangsa iaitu soalan 4 dan fokus soalannya juga berbeza.

Kejadian bencana alam sering melanda negara-negara di rantau ini. Sebagai tindakan berjaga-jaga, Malaysia telah mengambil langkah untuk bekerjasama dengan negara serantau bagi menghadapi kejadian tersebut pada masa hadapan.

     Huraikan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan negara serantau untuk menghadapi bencana alam tersebut.

Yang berikut, dipaparkan pula soalan dan karangan contoh yang menyentuh isu yang hampir sama dengan soalan negeri Terengganu untuk dijadikan rujukan.

Soalan contoh

Sesetengah bencana alam yang berlaku adalah disebabkan perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

     Jelaskan sebab-sebab bencana alam yang berlaku akibat perbuatan manusia sendiri.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- kita sering dikejutkan dengan kejadian bencana alam

Isi-isi Karangan
i. aktiviti pembalakan menjadi faktor berlakunya bencana alam
i. individu-individu yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka
iii. anggota masyarakat membuang sampah ke dalam longkang dan sungai
iv. aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng bukit

Penutup
- semua pihak harus bekerjasama dan berganding bahu

Karangan Contoh

     Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tiddak terancam.

     Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan untuk menangani masalah ini daripada berlaku.

     Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.

     Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar umbinya.

     Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.

     Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera, sebelum bertindak.

Sumber : blog Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, September 20, 2010

Penafian En.Abdul Ghalib bin Yunus, Munsyi Dewan

Penafian:
Dimaklumkan bahawa nama saya telah digunakan oleh pihak tertentu untuk melariskan jualan Kertas Ramalan Karangan SPM melalui laman web http://www.bmxpres.com/ . Melalui laman ini, saya menafikan bahawa saya telah mengeluarkan sebarang komen atau pujian atau kenyataan di bawah tajuk `Munsyi Dewan ....Penyuntik Semangat'. Saya juga menegaskan bahawa saya tidak pernah mengenali individu yang berkenaan. Saya juga tidak pernah menghantar apa-apa SMS atau mesej melalui  laman FB kepada beliau, kecuali saya pernah menerima satu e-mel daripada beliau dan meminta saya menyampaikan salam kepada rakan saya, Tuan. Hj.Samat bin. Buang. Saya juga difahamkan bahawa nama saya juga telah disiarkan dalam sebuah akhbar Mandarin, iaitu Kwang Meng.

Oleh hal yang demikian, saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kertas Ramalan tersebut dan saya tidak pernah membaca karangan yang dihasilkan dan saya tidak mengetahui atau tidak pernah menilai mutu karangan yang ditulis oleh individu tersebut.

Drp:
En.Abdul Ghalib bin Yunus, Munsyi Dewan

Monday, July 5, 2010

Faktor-faktor Terjadinya Tanah Runtuh

PUNCA TANAH RUNTUH

Pendahuluan:
  • Alam sekitar – mekanisme ciptaan Tuhan yang paling berharga
  • Kini – khazanah alam diterokai dan dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya
  • Berjuta-juta hektar hutan hujan tropika menjadi padang jarak padang tekukur akibat kepupusan flora dan fauna
  • Menatijahkan pelbagai bencana alam berlaku – fenomena tanah runtuh
  • Kenal pasti punca sebelum mengambil jalan penyelesaian – kalau tiada angin masakan pokok bergoyang
Punca:
  1. Semula jadi - Jumlah taburan hujan - kadar penyerapan air yang tinggi selepas hujan akan menyebabkan kandungan aliran air dalam tanah menjadi banyak- tanah akan menjadi longgar kerana wujud ruang larian air dalam tanah - tanah menjadi lemah dan mudah runtuh- Pergerakan tanah berlaku di kawasan yang mengandungi kuantiti takungan atau larian air yang banyak- berlaku tanah runtuh terutamanya di lereng-lereng bukit
  2. Pembangunan di kawasan tanah tinggi- Pembinaan perhotelan, perumahan dan pembinaan lebuh raya secara tidak terancang -Walaupun kos pembinaan mahal dan tidak selamat namun projek pembangunan tetap dijalankan demi mengaut keuntungan -Aktiviti pemotongan dan penambakan yang tidak mengambil kira faktor-faktor sudut kecuraman cerun, kekuatan tanah/batuan, darjah luluhawa, air bawah permukaan serta pengaruh litupan tumbuhan - Tragedi Highland Towers yang genap lima belas tahun lalu tidak dijadikan iktibar oleh pihak
    pemaju
  3. Aktiviti pembalakan tanpa kawalan- Penebangan hutan untuk tujuan pertanian, perumahan dan sebagainya menyebabkan tanah terdedah kepada agen hakisan-Senario ini berlaku kerana aktiviti pemabalakan di negara kita ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan-Struktur tanah yang longgar disebabkan tiadanya pelindung atau tanaman penutup bumi menyebabkan tanah runtuh.
Penutup:
  • harus bermuhasabah diri terhadap kejadian tanah runtuh yang mampu meragut nyawa manusia yang tidak berdosa dalam sekelip mata
  • alam perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan bukan dieksploitasi dengan sesuka hati – menimbulkan kemurkaan Tuhan – menatijahkan pelbagai bencana alam
  • bersinergi – melestari dan memulihara alam sekitar demi kebaikan bersama

Sunday, February 28, 2010

Gempa Bumi di Chile

Gempa di Chile: 48 masih hidup terperangkap dalam bangunan runtuh

CONCEPCION: Seramai 48 orang dipercayai masih hidup dan terperangkap dalam sebuah bangunan pangsapuri yang runtuh selepas lebih 24 jam gempa bumi kuat melanda Chile.

Pegawai bomba dan penyelamat, Ignacio Carrizo mengesahkan setakat ini lapan mayat sudah dikeluarkan dari bangunan berkenaan sejak gempa kuat 8.8 skala Richter melanda, kelmarin.

"Kami percaya ada 48 penghuni lagi masih terperangkap dan mereka masih hidup," katanya yang mengetuai pasukan penyelamat dengan dibantu anjing pengesan.

"Kami akan teruskan usaha dan kami tidak akan berhenti rehat selagi semua mereka yang masih hidup dapat dikeluarkan," kata seorang lagi anggota bomba, Francisco Contreras.

Sekatat ini, angka rasmi jumlah korban akibat gempa yang turut membawa tsunami itu ialah 708 orang seperti diumumkan Presiden Chile, Michelle Bachelet, awal hari ini. - AFP 

sumber : berita harian 1/3/10

Friday, November 20, 2009

Teknik Menghasilkan Rumusan Berkesan

A. MENULIS PENGENALAN:


1. Tulis dan ubah perkataan daripada kunci kata soalan pertama sahaja. (tidak boleh ada perkataan ‘dan’ dalam pengenalan.

2. Mengubah maksud perkataan kunci kata pertama soalan:

* faktor = punca = sebab = penyebab = perkara yang mempengaruhi

* langkah = inisiatif = cara = kaedah = tindakan

* kesan = implikasi = kebaikan = keburukan = kesan positif = kesan negatif

* ciri = sifat = bentuk

* masalah = halangan = cabaran = kekangan



3. Contoh:

1. Rumuskan langkah-langkah mengatasi hakisan tanah dan faedahnya kepada masyarakat.

Pengenalan rumusan :

Rencana membincangkan cara-cara mengatasi hakisan tanah.



2. Buat satu rumusan tentang faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar dan implikasinya kepada pembangunan di kawasan Bandar tersebut.



Pengenalan rumusan :

Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar.

3. Rumuskan ciri-ciri yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang dan langkah melahirkan pelajar cemerlang. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.



Pengenalan rumusan :

Rencana membincangkan sifat-sifat yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang.



4. Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada Negara kita dan langkah untuk memajukan sektor pertanian negara. Panjang karangan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.



Pengenalan rumusan :

Rencana tersebut membincangkan faedah sektor pertanian kepada Negara.



5. Buat satu rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



Pengenalan rumusan :

Rencana tersebut membincangkan kesan negatif makanan ringan kepada kanak-kanak.





B. MENULIS ISI TERSURAT:



1. Isi jawapan berdasarkan kunci kata soalan yang pertama. (gunakan kunci kata dalam soalan. Jangan ubah)

2. Isi hanya yang terdapat dalam petikan sahaja.

3. Beri maksimum 6 isi. (Jumlah isi tersurat dan tersirat ialah 8 isi)

4. Jika kurang isi tersurat, jangan panik. Tambah isi tersirat anda.

5. Jika jumlah perkataan masih kurang 120 perkataan, anda digalakkan tambah isi tersurat.

6. Pastikan maksimum 2 isi dalam satu ayat. SEBAIK-BAIKNYA 1 isi dalam I ayat.

7. Gunakan penanda wacana untuk menggabungkan setiap ayat.



8. Contoh penggunaan ayat:



Contoh 1: Rumusan yang baik.(Katakanlah faktor banjir kilat)



-Faktor utama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang tersumbat.

-Selain itu, faktor yang lain termasuklah kurangnya kadar serapan air di kawasan bandar.

-Sementara itu, hujan lebat yang berterusan juga turut menjadi faktor fenomena tersebut.

-Terdapat juga faktor kurangnya sistem perangkap sampah di kawasan sungai berhampiran.

-Di samping itu, kekurangan tumbuhan di bandar menyebabkan banjir kilat terjadi.

-Faktor penyebab yang terakhir ialah hakisan tanah yang dihasilkan oleh pembinaan di Bandar.



Contoh 2 : Rumusan kurang baik. (akan ditolak 1 markah bahasa)



-Faktor pertama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang sempit.

-Faktor kedua ialah kurangnya kadar serapan di kawasan bandar.

-Faktor ketiga ialah hujan lebat yang berterusan di bandar.

-Faktor keempat ialah kekurangan tumbuhan di bandar.

-Faktor terakhir ialah hakisan tanah dari kawasan pembinaan.



9. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan bagi isi tersirat yang menanyakan faktor, punca, manfaat, dan kepentingan.
(Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)


10. Contoh :

Contoh 1 :Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat. "



Isi tersurat :

-Faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba.


Contoh 2 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.



"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."



Isi tersurat :

- Selain itu, kesan kemajuan teknologi kepada negara ialah tugas yang dijalankan oleh orang ramai menjadi lebih mudah.



Contoh 3 : Rumuskan ciri-ciri tanaman kontan di negara kita dan kepentingannya.



"Antara tanaman kontan tersebut termasuklah getah dan kelapa sawit. Tanaman ini banyak ditanam di sini kerana tanah lateritnya yang subur. Hasil tanaman ini adalah digunakan untuk jualan yang memberi keuntungan kepada negara."



Isi tersurat :

- Ciri-ciri pertanian kontan yang lain termasuklah digunakan sebagai jualan bagi memberi keuntungan kepada negara.



Contoh 4 : Rumuskan kesan negatif kafe siber dalam kalangan remaja dan langkah mengatasinya.



"Umum mengetahui perkembangan kafe siber begitu pesat sehingga seperti cendawan tumbuh. Banyak pihak berpendapat bahawa perkembangan ini amat wajar bagi meningkatkan kemajuan IT dalam kalangan penduduk. Namun segelintir kecil menentangnya dengan alasan bahawa tempat ini akan menjadi tempat berkembangnya gejala sosial dalam kalangan remaja. "



Isi tersurat :

- Kesan negatif yang terakhir ialah kafe siber akan menjadi tempat berkembangnya masalah sosial dalam kalangan masyarakat.





C. MENULIS ISI TERSIRAT:



1. Berdasarkan kunci kata soalan yang kedua.

2. Isi bahagian ini perlu anda fikir sendiri dan bukan diambil dari petikan juga.

3. Jika isi tersirat yang anda fikirkan sudah ada dalam petikan juga, jangan ambil sebagai isi anda.

4. Penggunaan ayat dan penanda wacana adalah sama dengan isi tersurat.

5. Jumlah minimum ialah 2 isi tetapi jika isi tersurat kurang, bahagian isi ini perlu ditambah.

6. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan bagi isi tersirat yang menanyakan faktor, punca, manfaat, dan kepentingan.
(Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)



7. Contoh :

Contoh 1 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.



"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."



Isi tersirat :

- Masalah yang dihadapi dalam menyebarkan kemajuan teknologi ialah kekurangan pakar yang mampu memberi perkhidmatan dalam bidang ini kerana masih baru di negara kita.



Contoh 2 : Rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara kita dan langkah untuk memajukannya.



Isi tersirat :

-Langkah untuk memajukan sektor pertanian yang seterusnya ialah kerajaan memberi kemudahan subsidi baja kepada para petani.



Contoh 3 : Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.



"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat."



Isi tersirat :

- Langkah mengatasi kemalangan jalan raya yang terakhir adalah dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada pemandu yang menyalahi peraturan di jalan raya.



Contoh 4 : Rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya.



Isi tersirat :

- Untuk mengatasi masalah ini, langkah lain ialah ibu bapa memberi didikan agar anak-anak memilih makanan yang seimbang.





D. MENULIS PENUTUP / ULASAN:



1. 3 aspek perlu ditulis iaitu:

i. siapa bertindak ii. apa tindakan iii. tujuan tindakan

2. Ayat mesti mengandungi perkataan berikut:

i. Kesimpulannya / Oleh itu / Justeru / Maka / Jadi

ii. harus / patutlah / mestilah / wajarlah / harus / patut

iii. supaya / agar

3. Ayat seharusnya berbunyi begini :



Contoh 1 :

Kesimpulannya, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).



Contoh 2 :

Oleh itu, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).



4. Contoh jawapan ulasan rumusan anda:

Contoh 1 :

Rumuskan faktor penyalahgunaan dadah dan langkah membanterasnya.



Ulasan rumusan:

Kesimpulannya, kerajaan dan masyarakat harus berganding bahu agar masalah penyalahgunaan dadah dapat diatasi.



Contoh 2 :

Buat rumusan tentang ciri makanan seimbang dan kebaikan makanan tersebut.



Ulasan rumusan:

Oleh itu, ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka agar bijak memilih makanan yang seimbang.



Contoh 3 :

Rumuskan inisiatif untuk menggalakkan pelajar membaca dan masalah yang dihadapi.



Ulasan rumusan:

Oleh hal yang demikian, para pelajar patut bijak memilih buku yang dibaca agar mendapat pengetahuan yang berfaedah.



Contoh 4 :

Rumuskan faedah penggunaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik serta permasalahannya.



Ulasan rumusan:

Kesimpulannya, para pelajar haruslah menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata pelajaran tersebut agar mutu bahasa Inggeris mereka dapat dipertingkatkan.





Sumber: http://bmpmrspm.blogspot.com