Saturday, October 9, 2010

Karangan SPM 2010 – Bencana Alam

Fokus Karangan SPM 2010 – Bencana Alam

Antara isu lain yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah isu yang berkaitan dengan bencana alam.

Soalan yang berkaitan dengan isu ini terdapat dalam Kertas 1 (Karangan Respons Terbuka) Peperiksaan Percubaan SPM 2010 negeri Terengganu iaitu Soalan 3.

Kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di negara ini berpunca daripada kerakusan manusia itu sendiri.

      Tulis sebuah rencana tentang faktor-faktor berlakunya tanah runtuh dan kesan-kesannya.

Selain itu, soalan negeri Perak juga menyentuh isu yang sama, cuma soalan tersebut termasuk dalam dimensi isu antarabangsa iaitu soalan 4 dan fokus soalannya juga berbeza.

Kejadian bencana alam sering melanda negara-negara di rantau ini. Sebagai tindakan berjaga-jaga, Malaysia telah mengambil langkah untuk bekerjasama dengan negara serantau bagi menghadapi kejadian tersebut pada masa hadapan.

     Huraikan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan negara serantau untuk menghadapi bencana alam tersebut.

Yang berikut, dipaparkan pula soalan dan karangan contoh yang menyentuh isu yang hampir sama dengan soalan negeri Terengganu untuk dijadikan rujukan.

Soalan contoh

Sesetengah bencana alam yang berlaku adalah disebabkan perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

     Jelaskan sebab-sebab bencana alam yang berlaku akibat perbuatan manusia sendiri.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- kita sering dikejutkan dengan kejadian bencana alam

Isi-isi Karangan
i. aktiviti pembalakan menjadi faktor berlakunya bencana alam
i. individu-individu yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka
iii. anggota masyarakat membuang sampah ke dalam longkang dan sungai
iv. aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng bukit

Penutup
- semua pihak harus bekerjasama dan berganding bahu

Karangan Contoh

     Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tiddak terancam.

     Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan untuk menangani masalah ini daripada berlaku.

     Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.

     Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar umbinya.

     Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.

     Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera, sebelum bertindak.

Sumber : blog Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, September 20, 2010

Penafian En.Abdul Ghalib bin Yunus, Munsyi Dewan

Penafian:
Dimaklumkan bahawa nama saya telah digunakan oleh pihak tertentu untuk melariskan jualan Kertas Ramalan Karangan SPM melalui laman web http://www.bmxpres.com/ . Melalui laman ini, saya menafikan bahawa saya telah mengeluarkan sebarang komen atau pujian atau kenyataan di bawah tajuk `Munsyi Dewan ....Penyuntik Semangat'. Saya juga menegaskan bahawa saya tidak pernah mengenali individu yang berkenaan. Saya juga tidak pernah menghantar apa-apa SMS atau mesej melalui  laman FB kepada beliau, kecuali saya pernah menerima satu e-mel daripada beliau dan meminta saya menyampaikan salam kepada rakan saya, Tuan. Hj.Samat bin. Buang. Saya juga difahamkan bahawa nama saya juga telah disiarkan dalam sebuah akhbar Mandarin, iaitu Kwang Meng.

Oleh hal yang demikian, saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kertas Ramalan tersebut dan saya tidak pernah membaca karangan yang dihasilkan dan saya tidak mengetahui atau tidak pernah menilai mutu karangan yang ditulis oleh individu tersebut.

Drp:
En.Abdul Ghalib bin Yunus, Munsyi Dewan

Monday, July 5, 2010

Faktor-faktor Terjadinya Tanah Runtuh

PUNCA TANAH RUNTUH

Pendahuluan:
  • Alam sekitar – mekanisme ciptaan Tuhan yang paling berharga
  • Kini – khazanah alam diterokai dan dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya
  • Berjuta-juta hektar hutan hujan tropika menjadi padang jarak padang tekukur akibat kepupusan flora dan fauna
  • Menatijahkan pelbagai bencana alam berlaku – fenomena tanah runtuh
  • Kenal pasti punca sebelum mengambil jalan penyelesaian – kalau tiada angin masakan pokok bergoyang
Punca:
  1. Semula jadi - Jumlah taburan hujan - kadar penyerapan air yang tinggi selepas hujan akan menyebabkan kandungan aliran air dalam tanah menjadi banyak- tanah akan menjadi longgar kerana wujud ruang larian air dalam tanah - tanah menjadi lemah dan mudah runtuh- Pergerakan tanah berlaku di kawasan yang mengandungi kuantiti takungan atau larian air yang banyak- berlaku tanah runtuh terutamanya di lereng-lereng bukit
  2. Pembangunan di kawasan tanah tinggi- Pembinaan perhotelan, perumahan dan pembinaan lebuh raya secara tidak terancang -Walaupun kos pembinaan mahal dan tidak selamat namun projek pembangunan tetap dijalankan demi mengaut keuntungan -Aktiviti pemotongan dan penambakan yang tidak mengambil kira faktor-faktor sudut kecuraman cerun, kekuatan tanah/batuan, darjah luluhawa, air bawah permukaan serta pengaruh litupan tumbuhan - Tragedi Highland Towers yang genap lima belas tahun lalu tidak dijadikan iktibar oleh pihak
    pemaju
  3. Aktiviti pembalakan tanpa kawalan- Penebangan hutan untuk tujuan pertanian, perumahan dan sebagainya menyebabkan tanah terdedah kepada agen hakisan-Senario ini berlaku kerana aktiviti pemabalakan di negara kita ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan-Struktur tanah yang longgar disebabkan tiadanya pelindung atau tanaman penutup bumi menyebabkan tanah runtuh.
Penutup:
  • harus bermuhasabah diri terhadap kejadian tanah runtuh yang mampu meragut nyawa manusia yang tidak berdosa dalam sekelip mata
  • alam perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan bukan dieksploitasi dengan sesuka hati – menimbulkan kemurkaan Tuhan – menatijahkan pelbagai bencana alam
  • bersinergi – melestari dan memulihara alam sekitar demi kebaikan bersama

Sunday, February 28, 2010

Gempa Bumi di Chile

Gempa di Chile: 48 masih hidup terperangkap dalam bangunan runtuh

CONCEPCION: Seramai 48 orang dipercayai masih hidup dan terperangkap dalam sebuah bangunan pangsapuri yang runtuh selepas lebih 24 jam gempa bumi kuat melanda Chile.

Pegawai bomba dan penyelamat, Ignacio Carrizo mengesahkan setakat ini lapan mayat sudah dikeluarkan dari bangunan berkenaan sejak gempa kuat 8.8 skala Richter melanda, kelmarin.

"Kami percaya ada 48 penghuni lagi masih terperangkap dan mereka masih hidup," katanya yang mengetuai pasukan penyelamat dengan dibantu anjing pengesan.

"Kami akan teruskan usaha dan kami tidak akan berhenti rehat selagi semua mereka yang masih hidup dapat dikeluarkan," kata seorang lagi anggota bomba, Francisco Contreras.

Sekatat ini, angka rasmi jumlah korban akibat gempa yang turut membawa tsunami itu ialah 708 orang seperti diumumkan Presiden Chile, Michelle Bachelet, awal hari ini. - AFP 

sumber : berita harian 1/3/10