Wednesday, September 9, 2009

Hak Asasi

ARKIB Utusan Malysia: 09/09/2009

Mendidik hak asasi bukan mudah

ANGKA 9.9.99 dan 9.9.09 memang menarik. Apatah lagi jika dijenguk keistimewaan di sebalik kedua-dua tarikh itu dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun dari sudut fizikal mahu pun rohani.

Pada tarikh yang pertama - negara menyaksikan tertubuhnya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) - satu pertubuhan yang ditunggu-tunggu 10 lalu bagi meningkatkan kesedaran rakyat negara ini perihal hak asasi.

Usaha negara untuk menubuhkan institusi hak asasi manusia itu bermula dengan penyertaan aktif dalam Suruhanjaya BangsaBangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) pada tahun 1993.

Penglibatan aktif Malaysia mewajarkan pertubuhan dunia itu memberi penghormatan kepada negara apabila Tan Sri Musa Hitam dilantik Pengerusi sesi ke-52 UNCHR pada tahun 1995, manakala keanggotaan Malaysia dalam suruhanjaya tersebut dilanjutkan bagi penggal kedua, iaitu dari 1996-1998, dan seterusnya ke penggal ketiga (2001-2003).

Rentetan daripada itu, timbul cadangan supaya suruhanjaya seperti itu ditubuhkan di peringkat domestik. Hasilnya Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597 diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulung Suhakam dilangsungkan pada 24 April 2000.

Tarikh kedua iaitu hari ini pula genaplah sepuluh tahun penubuhan Suhakam. Semestinya tempoh tersebut boleh dijadikan penanda aras fasa pertama sejauh mana suruhanjaya itu berjaya melaksanakan fungsinya sejajar dengan objektif penubuhannya iaitu antara lain untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan berhubung hak asasi manusia.

Suhakam juga ditubuhkan bertujuan menasihati dan membantu kerajaan merumuskan perundangan, arahan dan tata cara pentadbiran serta mengesyorkan langkah-langkah yang perlu.

Paling diberi perhatian adalah fungsi Suhakam untuk menyiasat aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia yang ketika ini menjadi isu hangat bukan saja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Malah dalam beberapa objektif utama penubuhan suruhanjaya itu, bidang kuasa itulah yang menjadi tumpuan dan sentiasa diperkatakan hingga ke satu peringkat Suhakam dikatakan tidak mempunyai kuasa sebenar dalam melaksanakan fungsinya.

Ini kerana ramai yang berpendapat ada keterbatasan di pihak Suhakam untuk menjalankan siasatan manakala tindakan lanjut yang dicadangkan oleh suruhanjaya itu juga sering dilihat sebagai terhad dan tidak mempunyai kuasa perundangan.

Persoalannya di paras mana kesedaran rakyat Malaysia tentang hak asasi manusia. Adakah kesedaran itu mengikut lorong yang dikehendaki atau ia sekadar terikut-ikut dengan laungan perjuangan hak asasi di Barat yang langsung tiada sempadan?

Atau kesedaran rakyat negara ini tentang hak asasi manusia hanya berkisar tuntutan keterlaluan seolah-olah hak asasi manusia itu tiada batasan atau undang-undang yang bertindak sebagai pengawal untuk memastikan keterujaan hak asasi tidak merosakkan merosakkan dunia.

Kita sendiri sedar, tuntutan yang sering diketengahkan antara lain berkaitan dengan kebebasan bersuara dan kebebasan media yang mahu dibebaskan daripada belenggu akta-akta yang digubal khas untuk memantau aktiviti tersebut.

Dalam perjuangan mendapatkan hak asasi untuk meluahkan pendapat, pandangan menerusi suara dan tulisan, kumpulan yang menuntut kebebasan itu tidak mahu dikongkong.

Mereka mahu bebas melontarkan apa sahaja idea, pandangan tanpa berhadapan dengan kemungkinan diheret ke mahkamah di bawah akta hasutan atau akta percetakan.

Tetapi mampukah atas nama hak asasi manusia, kesemua peraturan dan undang-undang dirungkai sedangkan semakin banyak pihak menggunakan akta itu dan ini untuk mengheret mana-mana orang perseorangan atau syarikat akhbar yang menyiarkan berita menggelarkan mereka 'pengkhianat' atau apa juga gelaran yang tidak digemari.

Adakah manusia berjaya menggunakan kewarasan akalnya untuk memastikan setiap suara dan tulisan dapat dikawal atas nama hak asasi, sedangkan di negara-negara maju yang menjadi idola pejuang hak asasi manusia masih berselirat dengan ikatan peraturan dan undang-undang berhubung hak asasi manusia.

Sebab itu sebenarnya selepas 10 tahun penubuhan Suhakam, cabaran sebenar yang perlu diatasi adalah bagaimana mendidik rakyat negara ini perihal hak asasi manusia dengan cara yang betul.

Langkah itu penting supaya definisi hak asasi manusia dapat difahami oleh rakyat negara ini supaya mereka dapat membezakan antara tuntutan hak asasi manusia yang terlampau dengan keperluan tuntutan sebenar yang mesti dipenuhi.

Proses mendidik rakyat itu yang paling penting, lantaran jika tersilap didik atau tidak cukup didikan maka akan terbentuklah kumpulan rakyat yang tidak tahu apa keutamaan dan apa sebenarnya yang dikatakan hak asasi manusia.

Maka pelan tindakan yang akan dicadangkan Suhakam kepada kerajaan sempena 10 tahun penubuhan suruhanjaya itu seharusnya menumpukan kepada aspek pendidikan dan penilaian sejauh mana rakyat negara ini faham tentang istilah hak asasi manusia yang sebenar.

Aspek itu penting kerana cadangan itu bakal dijadikan strategi hak asasi manusia negara.

NORAINI ABD. RAZAK

No comments: