Saturday, October 3, 2009

Karangan Keistimewaan Bangunan Bersejarah

Karangan Keistimewaan Bangunan Bersejarah


Bangunan bersejarah di negara kita amat perlu dikekalkan demi generasi yang akan datang. Bincangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan bangunan bersejarah tersebut.



……………Dalam era permodenan yang dihambat dengan pelbagai kemajuan, Malaysia masih mampu mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai warisan budaya yang unggul. Di kota raya Kuala Lumpur sahaja, tersergam indah bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda kebanggaan penduduknya. Kerajaan turut mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah ini bagi memastikan bangunan tersebut terus utuh sebagai bangunan yang bakal menjadi kebanggaan generasi akan datang. Pada masa yang sama, bangunan bersejarah yang memiliki seni bina yang unik ini dapat dijadikan satu tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara keunikan bangunan tersebut agar tidak pupus ditelan zaman.



……………Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah mengorak langkah bagi mewartakan bangunan bersejarah ini sebagai satu warisan kebangsaan yang perlu dipelihara. Dengan pewartaan ini, bangunan-bangunan yang kebanyakannya dibina pada era penjajah dan berusia ratusan tahun, dapat dijamin kewujudannya dan terhindar daripada sebarang usaha pemusnahan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur umpamanya, telah meletakkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai bangunan bersejarah yang perlu dipertahankan dalam Pelan Induk Pembangunan Kuala Lumpur. Bagi memastikan bangunan tersebut terus kekal, usaha mengindahkan semula bangunan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Kesannya, bangunan kebanggaan negara tersebut kini tersergam indah menanti kunjungan pelancong sama ada dari dalam atau dari luar negara.



……………Bagi memenuhi impian seluruh masyarakat yang ingin melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal, kerajaan juga telah mengambil inisiatif bagi menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di seluruh negara. Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang bukan kecil jumlahnya demi menjalankan usaha membaik pulih bangunan-bangunan lama tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Sebagai contohnya, usaha membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad pada sekitar tahun 2007 yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya telah menelan belanja sebanyak RM20 juta. Hal ini meliputi kerja-kerja menambah kemudahan asas di bangunan tersebut serta menambah baik struktur bangunan yang telah rosak. Perlu diingat bahawa segala kerja baik pulih tersebut hanya melibatkan bahagian dalam bangunan sahaja, manakala struktur dan bentuk bahagian luar bangunan tersebut masih dikekalkan dengan ciri-ciri lamanya. Maka, dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, hasrat masyarakat untuk melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal akan dapat dicapai.



……………Pada masa yang sama, malaksanakan usaha bagi mengindahkan kawasan persekitaran bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita dengan lanskap yang menarik. Antaranya adalah dengan mengindahkan taman-taman bunga daripada pelbagai jenis flora yang terdapat di negara kita. Hal ini bertujuan untuk memastikan bangunan tersebut sentiasa mendapat kunjungan daripada orang ramai. Kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di bahagian dalam mahupun di bahagian persekitaran turut diperbaiki atau ditambah nilai. Sebagai contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad turut dilengkapi dengan kemudahan ‘lift’, alat keselamatan serta tempat meletak kenderaan kepada para pengunjung. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, bangunan-bangunan bersejarah tersebut mampu menggamit kehadiran pengunjung sekali gus memperkenalkan budaya kita kepada masyarakat luar negara.



……………Selain itu, salah satu elemen penting yang mendasari usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di negara kita adalah keterlibatan semua agensi yang berkaitan dengan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan. Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebagai contohnya sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha pengekalan bangunan-bangunan bersejarah di seluruh negara. Hal ini adalah bagi tujuan memastikan agar semua bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan sentiasa terpelihara dan selamat dikunjungi. Tida cukup dengan usaha tersebut, beberapa buah universiti di tanah air kita sering kali menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti struktur dan reka bentuk bangunan ini menepati ciri-ciri yang diharapkan oleh masyarakat Malaysia. Usaha ini turut ditanamkan dalam jiwa kalangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sejarah di mana mereka turut menjalankan kajian tentang bangunan-bangunan bersejarah di negara kita. Penyelidikan yang berterusan ini mampu menanamkan sikap cinta akan warisan budaya kita sesuai dengan matlamat kerajaan membangunkan nilai patriotism dalam jiwa remaja kita hari ini.



…………...Bagi menyempurnakan cita-cita luhur untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di negara kita, kerajaan turut bertindak memperkenalkan bangunan warisan tersebut kepada pelancong dari seluruh dunia. Usaha ini didepani oleh Kementerian Pelancongan dan juga Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia yang sentiasa merintis jalan bagi memperkenalkan tempat-tempat menarik di Malaysia. Melalui usaha ini, bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai tempat lawatan wajib bagi pelancong yang mengikuti pakej anjuran Kementerian Pelancongan. Langkah memperkenalkan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A famosa, Istana Jugra dan sebagainya mampu merealisasikan hasrat kita bagi mengekalkan bangunan bersejarah tersebut agar terus kekal di persada dunia. Pada masa yang sama, pemeliharaan bangunan bersejarah ini dapat mengekalkan fakta-fakta yang lebih jelas tentang budaya masyarakat kita yang hidup dan berkembang dalam lingkungannya yang begitu unik.



……………Intiharnya, kewujudan bangunan bersejarah di negara kita yang wujud sejak abad ke dua puluh lagi, mengambarkan kepelbagaian corak hidup masyarakat dahulu kala. Justeru, usaha untuk mengekalkan bangunan tersebut bagi tatapan generasi akan datang adalah amat perlu dilaksanakan demi kesinambungan budaya masyarakat kita. Budaya silam adalah cerminan masyarakat kita hari ini kerana budaya menunjukkan bangsa. Lantas, tanggungjawab kita adalah perlunya memberi kerjasama kepada pihak yang terbabit agar usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah tersebut akan terus kekal padu dan berpanjangan.

................................................................................................................................

Karangan Bangunan Bersejarah 2:

Tulis sepucuk surat kepada seorang rakan anda yang berada di luar negara bagi menceritakan sebuah bangunan bersejarah yang terdapat di negara anda. Di dalam surat tersebut, tuliskan keindahan yang terdapat pada bangunan itu dan langkah-langkah untuk memuliharanya.



…………………………………………..………....Ajila Binti Ajijul

…………………………………………..………....No.3, Jalan Kayu Ara,

……………………………………………..……....Taman Kayu-kayan, Cheras,

……………………………………………..……....56100 Kuala Lumpur.

……………………………………………..………. 13 Julai 2009.



……………Menemui sahabatku yang jauh di mata, Saudari Anne Van Der Houston yang kini berada di Armsterdam, Belanda. Semoga saudari dan keluarga saudari berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera selalu.



Saudari Anne,

…………….Bagaimanakah keadaan diri saudari di sana? Saya berharap agar saudari sentiasa dalam keadaan gembira. Saya dan keluarga saya di Kuala Lumpur sihat seperti selalu. Namun begitu, keadaan cuaca yang agak panas terik sejak akhir-akhir ini membuatkan saya berasa mudah letih. Untuk makluman saudari, pada masa ini saya sedang sibuk mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan oleh sekolah saya terutamanya pada waktu petang iaitu selepas waktu persekolahan. Hal ini bertujuan agar kami dapat mengingati semula isi-isi pelajaran yang telah kami pelajari di samping memperkenalkan kami pada bentuk soalan Sijil Pelajaran yang akan datang. Biasanya saya akan tiba di rumah pada lewat petang. Walau bagaimanapun, saya berharap agar saudari mendoakan saya supaya saya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.



Sahabatku Anne,

……………Sebenarnya tujuan saya menulis bingkisan ini adalah untuk menceritakan bangunan bersejarah yang terdapat di negara saya. Bangunan yang saya maksudkan ialah bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan ini merupakan sebuah bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan. Jika saudari ke Kuala Lumpur, saudari akan dapat melihat bangunan ini tersergam indah di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Kedudukannya terletak di pertemuan antara Sungai Kelang dengan Sungai Gombak. Untuk makluman saudari, bangunan ini telah dibina pada tahun 1893 iaitu semasa Malaysia masih dijajah oleh kuasa British. Sehingga hari ini, bangunan ini masih tegap berdiri serta menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur.



……………Bangunan Sultan Abdul samad merupakan sebuah bangunan yang unik dan mempunyai ciri seni bina Islam yang dibawa masuk dari luar negara. Tingkap dan pintunya berbentuk lengkung yang menandakan ciri bangunan di Cordova, manakala tiga buah kubah separuh bulat yang terdapat di atas bumbung bangunan tersebut bercirikan seni bina istana Taj mahal di India. Keindahan seni bina ini telah berjaya menggamit kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Sekiranya saudari berkunjung ke Kuala Lumpur, rugi rasanya jika saudara tidak singgah ke bangunan ini. Hal ini bukan sahaja dari segi keunikannya malah bangunan ini turut memiliki pelbagai nostalgia dan sejarah kepada penduduk di negara saya. Justeru, Kementerian Pelancongan dan Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia telah menjadikan bangunan ini sebagai pusat kunjungan para pelancong yang melawat ke Malaysia.



Saudari Anne,

……………Keindahan Bangunan Sultan Abdul Samad ini bukan hanya terletak pada ukirannya di bahagian luar sahaja malah bahagian dalam bangunan ini turut dilengkapi dengan seni bina yang amat unik. Bahagian lantai bangunan ini dilengkapi dengan kemasan jubin bermutu tinggi berwarna kemerahan. Dindingnya pula dihiasi dengan corak dan lakaran yang amat halus buatannya dan sukar ditandingi oleh pereka moden pada hari ini. Turut menampilkan ciri unik di dalam bangunan ini ialah terbentuknya sebuah dataran yang luas di bahagian dalam bangunan ini yang menempatkan hiasan pokok-pokok bunga dengan penjagaan yang kemas dan rapi. Akhir sekali, saudari juga berpeluang melihat tangga berpusing yang menghubungkan tingkat bawah ke bahagian kubah di tingkat atas bangunan itu. Jadi, jika berkesempatan ke Malaysia jangan ketinggalan untuk singgah ke bangunan ini.



Sahabatku Anne,

……………Memandangkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebuah bangunan yang amat berharga dan memiliki nilai kesenian yang tinggi, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia bagi memelihara bangunan ini supaya terus kekal. Antaranya adalah dengan mewartakannya sebagai warisan kebangsaan. Dengan pewartaan itu, bangunan ini menjadi bangunan yang terpelihara dan tidak boleh diganggu gugat. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah meletakkan bangunan ini sebagai bangunan bersejarah yang perlu dipelihara dalam Pelan Pembangunan Bersepadu Kuala Lumpur. Perisytiharan tersebut turut menjadikan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai mercu tanda Kuala Lumpur dan sebagai khazanah lampau yang terus terpelihara.



……………Pada masa yang sama, kerajaan juga berusaha untuk membaik pulih struktur bangunan yang telah rosak dengan melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan. Pada tahun 2007 sahaja, Jabatan Kerja Raya telah menjalankan usaha baik pulih berjumlah RM20 juta. Usaha menaik taraf bangunan ini dilakukan bagi meningkatkan kemudahan asas di bahagian dalam bangunan ini termasuk menyediakan kemudahan keselamatan, ruang pameran, ‘lift’, tempat letak kereta dan sebagainya. Walaupun usaha baik pulih ini dilaksanakan namun keaslian bahagian luar bangunan ini tetap dipelihara kerana ciri-ciri keaslian dan ketulinan struktur bangunan ini masih dikekalkan mengikut bentuk asal bangunan ini.



Sahabatku Anne,

……………Memandangkan masa yang tidak mengizinkan, setakat ini dahulu bingkisan yang sempat saya tulis untuk saudari. Saya amat berbesar hati menjemput saudari sekeluarga datang ke negara saya untuk menikmati keindahan bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara saya. Di sini nanti, bolehlah saudari mengambil gambar di kawasan bangunan tersebut atau menjalankan kajian untuk menambah pengetahuan saudari.



……………Akhir kata, sambutlah salam manis daripada saya dan keluarga saya di sini. Sampaikan salam saya kepada keluarga saudari di Belanda. Jumpa lagi pada bingkisan yang akan datang.



……………Sekian, terima kasih.







……………………………………………… Sahabatmu yang jauh,

…………………………………………………………… AjilaAjijul







sumber: bmpmrspm.blogspot
sumber : http://peony-edu.blogspot.com/

No comments: