Showing posts with label kejayaan cemerlang. Show all posts
Showing posts with label kejayaan cemerlang. Show all posts

Saturday, March 7, 2009

KEPUTUSAN SPM

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 akan diumumkan pada 12 Mac ini. Calon yang menduduki kedua-dua peperiksaan itu bolehlah mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.

Monday, January 26, 2009

Selamat Tahun Baharu Cina

Kepada semua pelajar dan masyarakat Tionghua di seantaro dunia,
Cikgu mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina.
Kepada pelajar, tidak kira apa-apa keturunan, kunjungilah rumah terbuka
yang diadakan berdekatan tempat kediaman anda.
Di samping menimba pengalaman rumah terbuka,
kita juga dapat mengeratkan hubungan antara kaum agar lebih erat lagi.
Hal ini amat penting untuk membina tembok perpaduan yang lebih kukuh
demi kesejahteraan nusa tercinta kita, Malaysia.

Monday, November 10, 2008

Anda pasti berjaya esok !

Para pelajar yang dikasihi,

Esok, kamu semua akan menduduki peperiksaan SPM.
Jawablah dengan tenang. Cikgu pasti anda semua sudah bersedia dengan baik.
Bagi mereka yang hanya membaca soalan ramalan sahaja,
jangan panik jika soalan yang anda ramal itu tidak ditanya dalam peperiksaan. Jika anda panik, fikiran anda pasti berserabut. Tenang... bertenanglah....
Anda pasti dapat menjawab dengan baik walau apapun soalan yang ditanya. Percayalah pada diri sendiri. Anda pasti dapat menjawab dengan baik.

Jika soalan yang anda ramal itu ditanya dalam peperiksaan. Tahniah kepada anda.
Namun, anda harus berhati-hati. Jawab apa yang ditanya oleh soalan kerana soalan yang ditanya mungkin berbeza dengan soalan yang anda ramal. Maksud cikgu ialah.. topik mungkin sama tetapi soalan yang ditanya berbeza dengan apa yang anda pernah buat atau jawab.
Ingat kata cikgu ! keyakinan diri amat penting apabila anda berada di medan peperangan (peperiksaan). Jika anda yakin anda akan menang, sudah pastinya anda akan menang!
Jika anda tidak yakin, maka anda sudah kalah sebelum bertempur.
Lantaran itu, YAKIN lah anda pasti dapat menjawab dengan baik.

Cikgu doakan anda semua cemerlang dalam pepriksaan SPM !!!

## untuk pecutan TERAKHIR, rujuklah blog Cikgu Ghalib dan Cikgu Razak.

Thursday, October 30, 2008

Ramalam Karangan SPM 1

Ramalam Karangan SPM 1
Remaja kini suka merokok di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.
Huraikan faktor-faktor gejala ini terus berlaku. [ 100 markah ]
Dipetik daripada blog Cikgu Tan CL

Remaja merupakan golongan yang berusia antara 13 hingga 21 tahun. Dalam usia yang muda dan mencabar ini, mereka mengalami perubahan dari segi fizikal dan mental. Perubahan demi perubahan ini menyebabkan ada dalam kalangan remaja yang terpengaruh untuk berjinak-jinak dengan tabiat merokok. Oleh hal yang demikian, kadar perokok remaja semakin merebak bak cendawan tumbuh selepas hujan. Realitinya, remaja pada masa ini semakin berani merokok di mana-mana sahaja tanpa segan silu. Saya berpendapat bahawa banyak faktor yang menyebabkan gejala merokok terus merebak dalam kalangan remaja.

Mengikut kajian yang dijalankan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang merupakan faktor utama yang menjadi pemangkin gejala merokok dalam kalangan remaja. Hal ini berlaku kerana pihak berwajib dikatakan tidak serius melaksanakan undang-undang yang digubal. Oleh sebab pihak berkuasa bersikap melepaskan batuk di tangga, remaja menjadi tidak takut waima tidak gentar untuk melakukan kesalahan seperti merokok di tempat-tempat awam. Lama-kelamaan, fenomena merokok dalam kalangan remaja bagai bisul menjadi nanah yang sukar diubati lagi.
Selain kelemahan penguatkuasaan, pengaruh media massa yang bebas menyiarkan iklan juga merupakan penyumbang kepada masalah merokok dalam kalangan remaja. Remaja yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang sudah pasti mudah terpengaruh dengan ledakan iklan daripada media massa. Kajian juga mendapati remaja dan golongan muda-mudi merupakan penonton tertinggi siaran media. Oleh sebab itu, iklan rokok dan poster konsert yang ditaja oleh pihak pekilang rokok mudah meresap dalam jiwa remaja yang mendahagakan keseronokan. Remaja memang mudah mempelajari apa-apa sahaja tontonan mereka. Oleh hal yang demikian, kebanyakan remaja memberanikan diri membeli dan memegang rokok kerana pengaruh media massa.

Di samping itu, kawan merupakan insan yang paling istimewa dan memainkan peranan yang penting dalam pergaulan remaja. Walau bagaimanapun, ada antara remaja yang cuba merokok selepas dicabar atau diajak oleh kawan-kawan. Hal ini tidak mustahil kerana hubungan antara kawan yang rapat bagai isi dengan kuku sedikit sebanyak merangsang kepercayaan remaja terhadap kata-kata kawan mereka. Oleh sebab menjadi pak turut kawan, majoriti mereka sama-sama ponteng sekolah, sama-sama membeli rokok lalu merasai asap rokok tanpa menyedari kebahayaan rokok. Selepas terjebak dan ketagihan rokok, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada tabiat buruk ini lagi.

Ibu bapa yang kurang memberikan kasih sayang dan tidak prihatin akan perubahan sikap anak-anak juga merupakan faktor remaja merokok. Hal ini demikian kerana ibu bapa pada zaman berteknologi ini terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan sehingga mengabaikan tanggungjawab keibubapaan mereka. Sikap ibu bapa ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mereka sanggup mengabaikan kasih sayang dengan memberi wang kepada anak-anak mereka sebagai gantian kasih sayang. Anak-anak yang belum berfikiran matang pula menyalahgunakan wang tersebut tanpa kawalan ibu bapa. Hal ini menyebabkan remaja dapat membeli rokok dengan mudah kerana harganya masih murah.

Secara tuntas, saya berpendapat bahawa gejala merokok sebenarnya dapat diatasi sehingga akar umbi. Namun begitu, semua pihak haruslah bersikap bagai aur dengan tebing untuk bekerjasama membanteras gejala merokok dalam kalangan anak-anak. Remaja haruslah bangun daripada kesalahan yang dibuat oleh mereka kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh hal yang demikian, penjagaan kesihatan diri ialah tanggungjawab sendiri. Jika kita berkesedaran dan berfikiran matang, nescaya dapat meningkatkan tahap kesihatan diri dengan menjauhi tabiat merokok. Saya berharap pihak berkenaan, terutamanya kerajaan dapat mempergiat kempen antimerokok agar remaja dapat menjauhi gejala merokok yang mampu membawa maut dalam jangka masa panjang.

500+ patah perkataan.
Pada Pukul 17:50 Dimuatnaikkan oleh CIKGU TAN C L 0 Komen

Monday, October 27, 2008

ANDA MERUPAKAN APA YANG ANDA FIKIRKAN

Pelajar yang dikasihi sekalian,
Tentu anda pernah dengar atau terpandang pada ungkapan ini.
'ANDA Merupakan Apa Yang ANDA FIKIRKAN.
Segala-galanya bermula dari minda anda. Sekiranya anda befikir
sesuatu yang negatif, hasilnya pasti negatif. Sekiranya anda fikirkan
sesuatu yang positif, hasilnya pasti positif, kerana itulah mantan Perdana Menteri Kita,
Tun Dr, Mahathir sentiasa menggalakkan rakyat Malaysia berfikiran
positif, 'Fikirkan boleh' dalam apa-apa jua bidang yang anda lakukan.

Pelajar sekalian,
Jika anda tidak pernah terfikir bahawa anda akan memperoleh A
dalam Bahasa Melayu, sudah tentu anda tidak akan medapat A dalam subjek tersebut.
Lantaran itu, sekarang juga fikirkan bahawa anda akan memperoleh A dalam Bahasa Melayu.
Lihat, kecanggihan teknologi telah membolehkan anda mendapat bahan daripada internet
selain buku-buku yang ada di pasaran. Jadi jangan risau lagi. Kuatkan semangat anda!
Fikirkan anda BOLEH. Yang pastinya anda pasti memperoleh A dalam Bahasa Melayu.

Cikgu Jeffri