Showing posts with label soalan ramalan. Show all posts
Showing posts with label soalan ramalan. Show all posts

Monday, June 29, 2009

Isu-isu Penting Karangan SPM 2009

Oleh sebab banyak pelajar yang mengemukakan pertanyaan tentang topik atau isu-isu penting yang berkaitan dengan soalan karangan SPM tahun ini, elok sekiranya saya paparkan isu-isu tersebut kali ini. Isu-isu tersebut dirasakan penting kerana belum pernah disoal dalam peperiksaan SPM sebelum ini. Selain itu, isu-isu tersebut juga terdapat dalam buku teks Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

Walau bagaimanapun, isu-isu tersebut dijangkakan sahaja akan disoal dan tidak semestinya akan disoal dalam peperiksaan SPM nanti. Jadi, selain isu yang dikemukakan ini, pelajar-pelajar juga perlu menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lain. Hal ini demikian kerana ada juga soalan yang dijangka disoal tetapi tidak disoal dalam peperiksaan dan begitu juga sebaliknya soalan yang tidak disangka-sangka akan disoal tetapi disoal dalam peperiksaan.Isu-isu yang dirasakan penting untuk diberikan perhatian pada tahun ini telah disesuaikan dalam bentuk soalan contoh karangan SPM.

1. Warisan Bangsa
Soalan contoh:Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

2. Dunia Semakin Canggih
Soalan contoh:Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.
Huraikan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.

3. Pelaburan
Soalan contoh:Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.

4. Kenaikan Harga Barang
Soalan contoh:Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah memberikan banyak kesan kepada para pengguna di negara kita.
Jelaskan kesan-kesan tersebut dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah itu.

Saya ingin mengingatkan pelajar bahawa soalan-soalan contoh di atas cuma sebagai soalan panduan untuk membuat latihan penulisan karangan. Pelajar-pelajar boleh membina soalan sendiri dengan bimbingan guru masing-masing.

Di samping itu pelajar perlu berlatih untuk menulis karangan itu sendiri dan bukannya meminta karangan contoh atau menyalin karangan yang sudah siap sedia ditulis oleh orang lain. Pelajar juga dinasihatkan untuk bertanya kepada guru bagi mendapatkan pandangan dan bimbingan.

Drpd Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, November 7, 2008

Prosa Tradisional: Peminangan Puteri Gunung Ledang

Prosa Tradisional: Peminangan Puteri Gunung Ledang

Soalan KBKK1.
Pada pendapat anda, mengapakah Sultan Mahmud mahu meminang PGLsebagai permaisurinya ?
-kerana baginda telah menjadi duda selepas permaisurinya mangkat.
-baginda keseorangan/kesunyian.
-mencarikan puteranya seorang bonda.
-mencari permaisuri yang paling istimewa/cantik/menawan

2. Pada pendapat anda, mengapakah PGL mengenakan syarat yang luarbiasa untuk dipenuhi oleh Sultan Melaka sebelum dapat memperisteri PGL?
-menguji kesungguhan Sultan Melaka-menunjukkan keistimewaanya/darjatnya yang tinggi
-PGL yakin Baginda Sultan Melaka mampu menunaikan permintaannya
-untuk menolak peminangan Sultan Melaka.

3. Jika anda ialah Tun Mamat, apakah persediaan yang akan anda lakukan sebelum memulakan misi mendaki gunung untuk meminang PGLuntuk Sultan Melaka.

Isi jawaban :
1. Menjalani latihan fizikal yang berterusan - "jogging", latihan memanjat menggunakan tali.
2. Menjaga aspek pemakanan yang diambil bagi mempastikan kecergasan dan tenaga cukup
3. Membuat pemeriksaan kesihatan untuk mempastikan diri bebas daripada penyakit kronik
4. Mendapat nasihat/ menggunakan khidmat penunjuk jalan/ pakar mengenai GL
5. Belajar ilmu ikhtiar hidup - rawatan kecemasan, pandu arah, binatang buas
6. Menjaga kesihatan - mendapat rehat yang cukup, guna ubat-ubatan tradisional

Contoh jawaban lengkap:
Jika saya ialah Tun Mamat, saya akan menjalani latihan fizikal yang lasak pada waktu pagi dan petang untuk mendapatkan stamina bagi mendaki Gunung Ledang. Saya akan mengambil makanan yang dapat memberi tenaga dan protein supaya tubuh saya benar-benar sihat dan berupaya mendaki gunung tanpa menghadapi sebarang masalah. Saya juga akan belajar sedikit ilmu ikhtiar hidup, misalnya cara-cara mengenal tumbuhan-tumbuhan di hutan yang boleh dimakan dan mempelajari teknik rawatan sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan.

4. Pada pendapat anda, mengapakah PGL perlu menyamar bagi menerima
kedatangan Tun Mamat ?
-supaya Tun Mamat tidak mengenali identiti beliau.
-untuk menjaga keselamatan diri beliau.
-untuk menguji kejujuran Tun Mamat terhadap wanita.
-untuk memastikan tujuan sebenar kedatangan Tun Mamat
-untuk menunjukkan kesaktian dan keluarbiasaan beliau.

5. Pada pendapat anda, mengapakah Sultan Melaka memilih Tun Mamatsebagai wakil peminangan?
-Pembesar yang dipercayai/taat/setia kepada Sultan
-Tun Mamat merupakan pembesar Istana yang paling kanan/berpengalaman
-Tun Mamat mempunyai kemahiran tentang selok-belok tentang laluan ke Gunung Ledang
-Tun Mamat mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi untuk mengetuai pasukan peminangan ke Gunung Ledang.

6. Pada pendapat anda, wajarkah tindakan Sultan Melaka meminang PGL?

Wajar kerana:
-Baginda telah kemangkatan permaisurinya/baginda telah menduda.
-Baginda perlu mencarikan puteranya seorang bonda.
-Baginda perlu memiliki seorang permaisuri bagi melengkapi pasangan diraja dalam sesuatu majlis.
-Baginda memerlukan pasangan/teman hidup bagi menggembirakan baginda.

Tidak wajar kerana:
-Bukan daripada keturunan raja/keturunannya boleh dipertikaikan
-Kemungkinan PGL cuba menipu kerana beliau mampu menyembunyikan identitinya
-Kemungkinan puteranya tidak dapat menyesuaikan diri dengan PGL.
-PGL sudah tua
-PGL bukanlah manusia biasa/PGL berkemungkinan seorang bunian
-PGL kemungkinan akan menguasai atau mendominasi pemerintahan/kekuasaan Sultan Mahmud.
-Kemungkinan akan menjatuhkan maruah/martabat/kedaulatan Sultan Melaka.

7. Pada pendapat anda, mengapakah Sultan Mahmud menangguhkan niatnya
untuk meminang PGL ?
-Permintaan PGL yang melampau/keterlaluan.
-Bimbang akan keselamatan puteranya.
-Tidak mahu menyusahkan rakyat Melaka
-Tidak mahu membazirkan wang rakyat

8. Pada pendapat anda, siapakah perempuan tua berbongkok tiga yang
bertemu dengan Tun Mamat? Mengapakah anda berkata demikian ?

-PGL kerana:
-Beliau ingin merahsiakan identitinya.
-Beliau ingin memastikan tujuan sebenar kedatangan Tun Mamat
-Beliau ingin menguji kejujuran/keikhlasan Tun Mamat
-Beliau ingin menjaga keselamatan dirinya.

Sumber : Blog Munsyi Ghalib dan Munsyi Razak
Dipetik daripada Blog Cikgu Razak dan dijawab oleh Pelajar Tg. 5 MBSSKL (Tyo, Meng, Johnny, YipLam, Lap Bann, Wai Xhen, Lok, WEi Han, Chang)

Thursday, October 30, 2008

Ramalam Karangan SPM 2 - Karangan Bergambar (Bahagian A)

Dipetik daripada blog Cikgu Tan CL


Ramalam Karangan SPM 2 - Karangan Bergambar (Bahagian A)
Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian, permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan tingting memainkan peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.


Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini tidak hilang ditelan zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan bermain permainan tradisonal merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.


Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai lambang keagungan bangsa dan negara tercinta ini. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni. Kini, kerajaan sudah pun menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa “sambil menyelam, minum air”. Hal ini sekali gus menjana pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.


Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tardisional. Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain memasukkan biji guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak. Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat mengukuhkan semangat perpaduan nasional dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.


Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya menjadi tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Saya berharap, satu hari nanti, permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan tradisional dapat mengharumkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia. Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus popular dalam carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai hobi yang berfaedah. Ayuh kita main congkak!